Kerana cemburu, seorang lelaki mendakwa dibelasah oleh bekas teman lelaki rakannya ketika mereka berdua-duaan di tempat letak kereta di...

Kerana cemburu, seorang lelaki mendakwa dibelasah oleh bekas teman lelaki rakannya ketika mereka berdua-duaan di tempat letak kereta di hadapan sebuah sekolah di Tabuan Jaya, semalam.
Difahamkan, mangsa, 27, yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), baharu tiba di bandar raya ini petang kelmarin sebelum berjumpa dengan rakannya itu pada malam hari yang sama.
Ketika mangsa dan rakan wanitanya itu berdua-duaan di dalam kereta di tempat kejadian, mereka didatangi tiga lelaki dengan seorang daripada mereka dipercayai bekas kekasih rakannya sekitar jam 12.20 pagi.
“Mangsa telah ditumbuk serta dipukul menggunakan hulu parang sehingga mengakibatkan kecederaan di dahi dan badannya.
“Selain itu, kereta jenis Perodua Kelisa milik mangsa turut dirosakkan suspek sebelum mereka beredar dari tempat kejadian dengan melarikan rantai perak serta telefon bimbit mangsa.
“Punca kejadian dipercayai suspek cemburu mangsa berkawan dengan bekas teman wanitanya itu,” kata sumber.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis semalam, tidak diketahui sama ada rakan mangsa dihantar pulang oleh mangsa atau dibawa oleh bekas teman lelakinya itu.
Mangsa yang dalam ketakutan selepas insiden tersebut segera menyelamatkan dirinya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian.
Keluarga mangsa yang turut bergegas ke balai polis berkenaan kemudian menghantar mangsa ke hospital untuk menerima rawatan.
Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.
BENARKAH LAGU INI RACIST ?
Tiada ulasan
Catat Ulasan