Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Perlu Berani Rombak Sabahrhinos

Pihak pengurusan skuad Liga Perdana Sabah perlu mengambil tindakan berani untuk merombak semula pasukan berkenaan sekiranya tidak mahu t...

Pihak pengurusan skuad Liga Perdana Sabah perlu mengambil tindakan berani untuk merombak semula pasukan berkenaan sekiranya tidak mahu terus 'terjatuh' sehingga ke tangga tercorot liga.

Perkara itu diakui Timbalan Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, yang berpendapat tindakan itu sesuai dilakukan apabila jendela perpindahan pemain dibuka, Julai depan.

"Pemain yang ada sekarang mungkin belum ada kemahiran atau pengalaman, selain faktor lain yang tidak sesuai sehingga menumpulkan bahagian serangan dan pertahanan.

"Kalau perlu buat rombakan, mereka (pihak pengurusan) harus berani melakukannya dan masa paling sesuai ialah ketika jendela perpindahan pemain dibuka Julai nanti," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, berkata pihak pengurusan perlu mengambil peluang itu untuk melakukan rombakan, terutama bagi menggantikan pemain yang gagal mencapai prestasi ditetapkan.

"Saya masih yakin peluang untuk kita mempertahankan kedudukan daripada tercicir ke bawah (Liga FAM) masih ada, dan saya juga yakin kita masih mampu mendapat kedudukan lebih baik seperti mana yang disasarkan pada awal musim, iaitu mendapat kedudukan empat terbaik dalam liga.

"Bagaimanapun, perkara itu hanya boleh direalisasikan menerusi kerjasama semua pihak dan pada masa sama, penyokong juga perlu terus berada di belakang pasukan sebagai 'pemain ke-12' sama ada menang atau kalah...terus beri sokongan padu," katanya.

Tawfiq berkata beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menilai serta membuat keputusan sama ada jurulatih yang ada sekarang perlu diganti atau tidak.

"(Berkenaan) jurulatih saya tidak mahu komen, terserah kepada pihak pengurusan untuk menilainya.

"Kerajaan negeri, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Presiden SAFA, sentiasa berusaha mengeluarkan dana yang sangat besar untuk perbelanjaan skuad utama kita.

"Pengorbanan itu perlu diterjemahkan oleh pemain dengan mendapatkan keputusan baik selain mempertahankan kedudukan mereka dalam pasukan," katanya.

Tiada ulasan

Latest Articles