Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Polis tahan sembilan lelaki terlibat kes curi lembu dan kerbau

Sekadar Gambar Hiasan LAHAD DATU - Polis Lahad Datu menahan sembilan lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes curi serta me...

Sekadar Gambar Hiasan
LAHAD DATU - Polis Lahad Datu menahan sembilan lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes curi serta melapah daging haiwan ternakan lembu dan kerbau, yang berlaku di dua kawasan ladang berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP. Hamzah Ahmad berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Kesan/Op Cantas Khas yang dilancarkan pihaknya, susulan dari tiga laporan yang diterima berkaitan kes curi lembu dan kerbau di daerah ini.

“Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD LDU yang diketuai oleh Insp. Abdul Mutalib Harun melancarkan Ops Kesan/Op Cantas Khas yang mana telah membawa kepada kejayaan tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 36 tahun.

“Suspek terbabit berjaya ditahan pada Isnin lalu di kawasan perumahan PPRT, pada kira-kira jam 8.30 pagi dan hasil siasatan, lelaki itu dipercayai bertindak sebagai pembeli daging (haiwan ternakan) curi itu,” katanya dalam sidang media di sini, kelmarin.

Menurut Hamzah, susulan dari tangkapan itu, pihaknya turut melancarkan satu lagi serbuan yang dilakukan awal pagi kelmarin di kawasan yang sama dan berjaya membawa kepada tangkapan lapan suspek lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 46 tahun.

“Kesemua lapan lelaki yang ditahan itu disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu dan kerbau yang berlaku di dua kawasan ladang dalam daerah ini,” katanya sambil menambah turut dirampas dua buah motosikal yang dipercayai motosikal curi.

Sementara itu jelas Hamzah, hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati, modus operandi yang dilakukan suspek dalam ketiga-tiga kes terlibat ialah dengan bertindak mencuri lembu dan kerbau yang tidak dijaga pada waktu malam sebelum menyembelih haiwan ternakan itu tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Selepas menyembelih, suspek akan melapah untuk mengambil daging haiwan ternakan itu sahaja untuk dijual bagi mendapatkan wang, dan meninggalkan bangkai seperti kepala, ekor dan perut di lokasi kejadian,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelas Hamzah, dengan kejayaan ini pihak JSJ IPD LDU percaya telah menyelesaikan sebanyak tiga kes melibatkan kejadian curi lembu dan kerbau di daerah ini.

Tambahnya lagi, soal siasat lanjut ke atas suspek akan diteruskan kerana pihaknya yakin kumpulan ini bergiat aktif sejak pertengahan tahun 2015 dan percaya ada kejadian yang tidak dilaporkan kepada pihak polis.

“Sehubungan itu, saya mohon kepada mana-mana mangsa yang ada kehilangan haiwan peliharaan lembu atau kerbau supaya dapat tampil membuat laporan berkaitan kejadian kehilangan,” katanya lagi. - NewSabahTimes

Tiada ulasan

Latest Articles