TAWAU : Polis sudah mengenal pasti anggotanya yang didakwa menerima sogokan bagi memudahkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (...
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap apa juga pelanggaran integriti atau salah laku membabitkan mana-mana anggotanya.
“Kita sudah mengenal pasti anggota terbabit serta masih menjalankan siasatan terperinci. Sekiranya didapati benar dan ada pelanggaran integriti, maka tindakan keras akan diambil bagi memastikan setiap anggota yang menjalankan tugas penguatkuasaan mematuhi integriti polis.
“Polis telah membuka kertas siasatan termasuk mengenal pasti semua watak serta gambaran lokasi yang didakwa menjadi laluan tikus selain kenderaan digunakan seperti dipaparkan dalam video berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, sebentar tadi.
Sejak kelmarin, beberapa portal berkongsi pautan serta rakaman sebuah program televisyen berbentuk siasatan di Indonesia yang mendedahkan secara terperinci bagaimana ratusan PATI mendarat di daerah ini, setiap hari.
Paparan video memperlihatkan bagaimana tenaga kerja Indonesia (TKI) masuk secara haram ke Malaysia melalui Tawau, selain menyelongkar perjalanan PATI dari negara jiran itu dipermudahkan dengan memberi rasuah antara RM50 hingga RM100 kepada pihak berkuasa negara ini.
Mengulas lanjut, Fadil turut menafikan kemasukan ratusan PATI setiap hari melalui kawasan Batu-Batu yang menjadi laluan domestik penduduk dari Pulau Sebatik untuk ke bandar ini.
Katanya, pihaknya mengakui ada PATI yang masih lolos melalui laluan tikus dan laluan haram di sepanjang persisiran pantai dan perairan namun pelbagai usaha dan operasi bersepadu dijalankan untuk membanteras masalah berkenaan.
“Ini termasuk merobohkan penempatan haram di perkampungan air selain tangkapan dalam beberapa siri operasi bersepadu yang dibuat secara berterusan.
“Buktinya sepanjang tahun 2016, banyak tangkapan mengikut Akta Imigresen dilakukan hasil operasi bersepadu, selain program pengusiran balik PATI,” katanya. – BH Online
Video:
Video:
Tiada ulasan
Catat Ulasan