ROMPIN – Belum pun sempat melelapkan mata, Nor Fatihah Abdul Khalid, 25, tergamam apabila melihat suaminya yang baru pulang berlumuran da...
ROMPIN – Belum pun sempat melelapkan mata, Nor Fatihah Abdul Khalid, 25, tergamam apabila melihat suaminya yang baru pulang berlumuran darah selepas dikatakan tertusuk buluh bendera parti politik sebaik saja tiba di rumahnya di Kampung Salang, Pulau Tioman, awal pagi, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa, Sofian Iskandar Suharto, 27, dikatakan tertusuk buluh bendera di bahagian leher sewaktu menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas memeriksa botnya di Jeti Kampung Salang.
Bagaimanapun, Sofian Iskandar yang mengalami pendarahan teruk di bahagian leher terpaksa dikejarkan ke Hospital Mersing menaiki bot ambulans dan disahkan meninggal dunia di hospital itu pada jam 1.40 tengah hari.
Nor Fatihah berkata, sebaik saja suaminya itu sampai di rumah, dia terkejut apabila pakaian Sofian berlumuran darah sambil kedua-dua tangannya menutupi leher akibat kesakitan dialami.
“Saya baru hendak tidur, kemudian dikejutkan sepupu yang memberitahu suami pulang dalam keadaan berlumuran darah dan mengerang kesakitan.
“Saya terus melulu ke arah suami dan membalut lehernya dengan tuala, tetapi darah masih keluar menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan orang kampung menghantarnya ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nor Fatihah, suaminya itu tidak banyak bercakap selain hanya mampu beristighfar dan mengucap sepanjang perjalanan menaiki bot ke klinik kesihatan itu.
“Dalam keadaan hujan, saya gagahkan diri meminta bantuan orang kampung untuk menghantar suami ke klinik kesihatan agar dia dapat dirawat segera memandangkan darah di leher mengalir semakin banyak,” katanya.
Nor Fatihah berkata, bagaimanapun, suaminya diarah untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Mersing memandangkan kecederaan yang dialaminya serius.
“Hanya doa saja yang dapat saya lakukan ketika itu, selain berharap supaya suami kembali sembuh, apatah lagi melihat keadaannya yang tidak bermaya seolah-olah seperti ayam baru kena sembelih,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia reda apabila doktor mengesahkan suaminya tidak dapat diselamatkan selepas mengalami pendarahan yang teruk.
“Saya terima ketentuan Ilahi kerana ajalnya sudah tiba. Saya hanya mampu berdoa dan berusaha, kerana semua itu atas kehendak-Nya,” katanya.
“Saya pun rasa pelik, kerana arwah tidak banyak bercakap dan suka menyendiri, mungkin itu tanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Jenazah Sofian Iskandar dituntut keluarganya untuk dibawa ke Pulau Tioman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Salang, selepas Isyak. – Sinar Harian Online
Kepada kumpulan pemasang bendera parti, sila pastikan cara pemasangan anda tidak membahayakan orang lain.
Tiada ulasan
Catat Ulasan