Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Semasa : Cadangan Tambah Baik Keselamatan Sabah Ditimbang

KOTA KINABALU - Kerajaan bersedia menimbangkan cadangan untuk menambah baik kawalan keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur negeri...

KOTA KINABALU - Kerajaan bersedia menimbangkan cadangan untuk menambah baik kawalan keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.



Bendera Sabah, Sabah Flag

Beliau berkata sebarang cadangan mengenai penambahbaikan keselamatan di Sabah termasuk cadangan dikemukakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, akan diambil perhatian.
    
Katanya kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah bagi memperkukuh pertahanan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) baru-baru ini, antaranya penstrukturan semula Esscom dan penempatan kapal Bunga Mas 5 milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) di perairan pantai timur Sabah yang bersempadan dengan Filipina.
    
"Insiden ini (penculikan dan serang hendap) telah memberi persepsi negatif kepada kita dan perlu ditangani dengan bijak," katanya ketika menggulung perbahasan berhubung insiden serang hendap di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu malam lepas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
    
Usul perbahasan itu dikemukakan oleh Datuk Abdul Rahim Ismail (BN-Pantai Manis) untuk membincangkan insiden itu yang meragut nyawa seorang anggota Pasukan Polis Marin, manakala seorang lagi diculik oleh kumpulan pengganas bersenjata dalam insiden pada 12 Julai lepas.
   
Musa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Esscom, turut memaklumkan persamaan budaya dan bahasa kumpulan penjenayah atau pengganas dengan masyarakat setempat, khususnya di pantai timur, menjadi cabaran utama ESSCom.
    
"Persamaan tersebut memudahkan penjenayah atau pengganas masuk ke Sabah dan menyamar sebagai masyarakat setempat," katanya.
    
Ketua Menteri turut mengingatkan pengusaha di pantai timur Sabah, khususnya pengusaha ikan dalam sangkar, supaya tidak mengambil pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja kerana ini membuka peluang kepada pengganas untuk masuk ke Sabah.
    
"Ini membuka peluang pengganas masuk (ke Sabah) sebagai pekerja untuk menyamar (sebagai orang tempatan) dengan tujuan untuk mencari maklumat (tentang pasukan keselamatan)," katanya.
    
Terdahulu, Abdul Rahim ketika membentangkan usul itu berkata insiden penculikan kini semakin serius dan selain merupakan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara, ia juga membabitkan maruah negara.
    
"Usul ini tidak boleh sama sekali dianggap sebagai satu agenda politik. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat, terutama sekali dalam situasi mencabar ini, ialah mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu-isu keselamatan di Sabah," katanya.
    
Beliau juga mengingatkan agar mengelak sebarang provokasi dan spekulasi yang bukan sahaja akan menjejaskan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan, malah akan membuat penduduk yang tinggal di kawasan pantai timur merasa panik dan takut untuk menjalankan kehidupan seharian mereka. - Bernama

Tiada ulasan

Latest Articles