Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Semasa : Kebakaran di Keningau

KENINGAU, SABAH : Dua kejadian kebakaran berlaku di daerah ini dan Nabawan membabitkan rumah persendirian dan kuarters pekerja pada peta...

KENINGAU, SABAH: Dua kejadian kebakaran berlaku di daerah ini dan Nabawan membabitkan rumah persendirian dan kuarters pekerja pada petang Isnin dan pagi kelmarin.

Kejadian di daerah ini, seorang mantan ketua Kampung Biah Tengah di sini kerugian lebih kurang RM125,000 apabila rumahnya musnah dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau Janil Jaya yang mengetuai operasi itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi di Kampung Biah Tengah di sini.

“Pihak jabatan menerima panggilan kecemasan berkenaan kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berukuran 60×60 kaki pada jam 9.25 pagi, dan dua buah jentera Scania FRT dengan lapan anggota dikerah ke lokasi itu.

“Setelah usaha memadam api dijalankan, operasi tamat pada jam 10.50 pagi,” katanya kepada media ketika ditemui di sini kelmarin.

Janil berkata, ketika kejadian, mangsa William Nuar Kairar, 74, yang sebelum ini memegang jawatan ketua Kampung Biah Tengah tidak berada di rumah.

“Tiada mangsa yang terlibat, namun rumah berkenaan ranap sama sekali dan antara yang terbakar ialah sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan di kolong rumah itu.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang tepat masih dalam siasatan, namun mangsa ada memaklumkan kepada jabatan bahawa anggaran kerugian ialah di sekitar RM125,000,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Janil berkata statistik kebakaran dari bulan Januari hingga Julai 2014 menunjukkan sebanyak 128 kebakaran berlaku di sekitar daerah ini, manakala operasi penyelamatan yang dijalankan adalah sebanyak 94 kes.

“Nasihat saya kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan sebarang kebakaran berlaku. Pastikan jangan membuat penyambungan elektrik yang akan menyebabkan beban berlebihan.

“Mancis ataupun pemetik api jangan disimpan di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak kerana dikhuatiri kanak-kanak akan bermain dengan mancis menyebabkan kebakaran berlaku apabila tidak diawasi.

“Di musim perayaan ini, diharap suri-suri rumah mengawal peralatan apabila memasak dan jangan dibiarkan dalam waktu yang lama tanpa pengawasan kerana dikhuatiri akan menyebabkan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Alfred Ellron Angin turut bergegas melawat mangsa di lokasi kejadian.

Beliau yang juga wakil rakyat Sook turut menghulurkan bantuan berupa peralatan dapur dan makanan  kepada mangsa yang terlibat.

Sementara itu, satu lagi kejadian kebakaran di daerah Nabawan pada petang Isnin memusnahkan kuarters pekerja United Melaka Nabawan.

Janil berkata, pihak jabatan menerima panggilan pada jam 3.50 petang lalu bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera dan tujuh anggota yang diketuai oleh PB Hafiz dan dibantu oleh dua anggota dan satu Arena Pasukan Bomba Sukarela Nabawan.

Katanya, anggotanya tiba di lokasi kejadian yang jaraknya 69 kilometer dari Keningau pada jam 4.54 petang dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 5.25 petang.

“Kebakaran melibatkan satu deret lapan pintu rumah kongsi bertingkat jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran itu dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya, tempat kejadian tidak ada liputan GIRN dan telefon sementara punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan

Latest Articles