PERKEMBANGAN TERKINI USAHA MERUNGKAI MISTERI DAN PENCARIAN MH370 DITERUSKAN A set terbaharu Fugro Survey Pte Ltd yang mengambil kontra...
PERKEMBANGAN TERKINI USAHA MERUNGKAI MISTERI DAN PENCARIAN MH370 DITERUSKAN
Aset terbaharu Fugro Survey Pte Ltd yang mengambil kontrak untuk menjalankan pemeriksaan dasar laut bagi mencari serpihan MH370 di selatan Laut Hindi sedang dalam perjalanan ke Perth dari Britain.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pencarian menggunakan aset tersebut akan melibatkan kawasan carian berkeluasan 60,000 kilometer persegi dan dijangka mengambil masa yang lama.
“Fugro akan menggunakan dua kapal dilengkapi dengan kenderaan bagi laut dalam yang akan dikendalikan pakar-pakar yang akan menjalankan tanggungjawab untuk operasi mencari.
“Kapal-kapal tersebut akan mengimbas lantai laut dengan menggunakan imbasan sonar, alat multi-beam echo sounder dan kamera video untuk mencari dan mengenal pasti pesawat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau dalam pada itu menjamin bahawa pihak kerajaan mengekalkan komitmen dalam meneruskan usaha pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
“Selepas lima bulan mencari pesawat yang hilang, kami ingin memberi jaminan kepada keluarga terdekat mangsa MH370 bahawa komitmen kami untuk mencari penerbangan ini kekal konsisten dan akan diperkukuhkan,” katanya lagi.
Selaras dengan usaha kerajaan dalam membantu pencarian MH370, kerajaan Malaysia turut menghantar kapal tentera KD Mutiara untuk menyertai kerja ukur batimetri dasar laut di Laut Hindi.
“Kapal tersebut yang dilengkapi peralatan sonar imbasan akan diselaraskan dan diketuai oleh Biro Keselematan dan Pengangkutan Australia.
“Manakala sebuah lagi kapal, Bunga Mas yang berada di sana sejak April 2014 akan terus berada di sana dan menyokong usaha carian yang dijalankan,” jelasnya lagi.
Beliau akan berangkat ke Australia pada 19 Ogos akan datang bagi menghadiri mesyuarat bagi membincangkan operasi mencari bersama China dan Australia dan Timbalan Perdana Menteri Australia.
Tiada ulasan
Catat Ulasan