Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

PENJELASAN ASAL USUL KAMPUNG GENTISAN

 PENJELASAN ASAL USUL KAMPUNG GENTISAN Assalammualaikum dan Salam Perpaduan, Merujuk kepada bencana  Kebakaran di Kampung Gentis...

Asal Usul Kampung Gentisan


 PENJELASAN ASAL USUL KAMPUNG GENTISAN

Assalammualaikum dan Salam Perpaduan,
Merujuk kepada bencana Kebakaran di Kampung Gentisan baru-baru ini yang mana status Rumah Setinggan sepertimana yang dilaporkan oleh Media Rasmi adalah TIDAK BENAR.

Secara Ringkasnya di Bawah ini saya kongsikan Penjelasan dari En. Mohd Nuralim bin Talawi Mengenai Status Sebenar Kampung Gentisan

Saya terpanggil untuk menjelaskan status sebenar kampung saya iaitu Kg. Gentisan yang baru-baru ini ditimpa musibah kebakaran dan turut mengorbankan ahli keluarga saya sendiri. Saya tidak hairan jika pihak media turut mengatakan kampung ini sebagai kampung setinggan kerana sepanjang saya mengikuti perkembangan berita media massa, sentiasa ada maklumat yang tidak sahih yang digembar-gemburkan oleh mereka (pihak media) dek kerana ingin mendapatkan perhatian daripada segenap penjuru.

Saya bercakap berdasarkan fakta yang telah dikaji oleh Dr. Gusni bin Saat yang kini merupakan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau telah mengkaji komuniti Sama-Bajau di Asia Tenggara lebih 20 tahun khususnya di Teluk Sepanggar. 

Dari segi politik, komuniti di Kg. Gentisan telah wujud pada zaman pra-pemerintahan Brunei dan pemerintahan berpusat pada waktu tersebut masih belum wujud. Kampung Gentisan adalah antara kampung yang menerima dua zaman pemerintahan di daerah Teluk Sepanggar, iaitu zaman Kesultanan Brunei dan zaman Penjajahan British. Pengalaman sejarah yang dialami oleh daerah ni telah mengakibatkan perubahan besar secara fizikal dan social. Dan kini Teluk Sepanggar telah dimasukkan dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Dari segi sejarah sosial, nama Gentisan telah tercatat secara bertulis dalam sejarah Brunei dengan kehadiran salah seorang Bendahara di Teluk Sepanggar sekitar tahun 1700 Masihi (Harrison, 1976). Kemudian, catatan mengenai kawasan Teluk Sepanggar telah diteruskan oleh para pengembara dan penyelidik dari Eropah seperti St. John (1974), Whitehead (1893) dan Dalrymple (1884). Catatan lengkap tentang Teluk Sepanggar telah dilakukan oleh pihak Pemerintah Syarikat Borneo Utara British (SBUB) dan kemudian dikenali sebagai Pemerintah Penjajah British.

Petempatan di kawasan ini adalah petempatan kampung berkonsepkan petempatan tradisional dari segi reka bentuk bangunan, organisasi sosial dan interaksi sosial. Dari aspek status, petempatan kampung ialah sebuah petempatan bumiputera mengikut Undang-undang Tanah Negeri Sabah, iaitu Land Ordinance Cap.68 : Section 78 (1) & (2). Akta ini memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sabah untuk mengisytiharkan mana-mana tanah negeri sebagai tanah simpanan bumiputera, bagi kepentingan dan kebajikan kaum bumiputera Sabah. Ini bermaksud, tanah kampung hanya boleh diberikan dan diduduki oleh kaum pribumi sahaja. 

Sebagai kesimpulan, Kampung Gentisan adalah antara kampung yang telah wujud sejak zaman pemerintahan Brunei. Saya menegaskan bahawa status kampung ini bukanlah sebagai kawasan setinggan seperti yang dikhabarkan oleh pihak media tidak kira dari Astro Awani, Berita Harian, dan mana-mana pihak media. Saya juga menuntut agar semua pihak menarik balik kenyataan mereka yang menyatakan bahawa kampung ini sebagai petempatan setinggan dan sebenarnya penduduk kampung ini adalah penduduk asal Gentisan dan Teluk Sepanggar.

Rujukan;
- Komuniti Samah-Bajau di Bandar (2003), 
- Pribumi Teluk Sepanggar (2004),

Mohd Nuralim bin Talawi,
Kg. Gentisan,
SRC IIUM 2013/2014

Artikel ini mendapat kebenaran dari pemilik asal untuk disiarkan di djkupang.com

Tiada ulasan

Latest Articles