LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 21 tahun gemparkan orang ramai apabila dia cuba untuk terjun dari tingkat enam sebuah hotel di sini. ...
Bagaimanapun percubaannya tidak berjaya selepas dia diselamatkan oleh pasukan jabatan bomba dan penyelamat selepas berjaya memujuknya pada malam selasa.
Difahamkan wanita yang berasal dari Lahad Datu mengambil keputusan untuk terjun bangunan selepas berlaku perselisihan faham dengan suaminya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood, ketika dihubungi semalam berkata, mereka dimaklumkan mengenai cubaan membunuh diri pada jam 7.17 malam dan sebuah jentera bersama lapan anggota segera bergegas ke tempat kejadian.
Apabila tiba di tempat kejadian, beliau berkata, wanita itu dilihat duduk berhampiran tingkap di tingkat enam. Anggota bomba dan penyelamat segera pergi mendekati dan memujuk beliau supaya tidak melompat.
"Selepas wanita itu mula tenang, anggota bomba dengan pantas menarik perempuan itu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Wanita itu diselamatkan tanpa sebarang kecederaan fizikal dan operasi menyelamat berakhir pada 7:47 malam.