Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

SPRM Sabah: Dokumen dirampas seluas gelanggang tenis

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dijangka menyelesaikan pengasingan dan penelitian dokumen-dokumen penting y...

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dijangka menyelesaikan pengasingan dan penelitian dokumen-dokumen penting yang dirampas dalam ‘Op Water’ sejak 4 Oktober lalu dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama berkata, pegawai mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam setiap hari untuk proses pengasingan dan penelitian dokumen-dokumen itu.

"Pengasingan dan penelitian dokumen-dokumen itu melibatkan sekurang-kurangnya 20 pegawai setiap hari. "Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan pengasingan dan penelitian dokumen-dokumen secepat mungkin bagi membolehkan SPRM membawa siasatan ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Difahamkan dokumen-dokumen yang dirampas dalam beberapa siri serbuan sejak‎ hari pertama operasi pada 4 Oktober lalu itu kini sudah memenuhi separuh keluasan dewan yang mempunyai saiz sebuah gelanggang tenis.

Azam juga berkata, bagi membantu pasukan siasatan menyelesaikan kerja pengasingan dokumen secepat mungkin, SPRM telah menugaskan lebih ramai pegawai dari ibu pejabat di Putrajaya dan beberapa negeri lain.

"Kami percaya lebih banyak bukti akan dikesan hasil penelitian dokumen-dokumen itu yang berhubung kait dengan penyelewengan dana infrastruktur jabatan kerajaan berkenaan," katanya.

Beliau juga meminta semua pihak agar memberikan kerjasama dengan SPRM serta tidak membuat sebarang spekulasi kerana pasukan penyiasat memerlukan ruang masa bagi menyiasat kes ini hingga ke akar umbi.

Pada 4 Oktober lalu, SPRM melancarkan Op Water Fasa I dan menahan empat pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan di sini, termasuk pengarah dan timbalan pengarah jabatan itu, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berkenaan.

Ekoran penahanan empat suspek berkenaan, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM114 juta tidak termasuk 127 geran tanah dan barangan kemas.

Bagaimanapun keempat-empat suspek telah dibebaskan dengan ikat jamin antara RM50,000 dan RM500,000 dengan dua penjamin.

Ops Water Fasa II dilancarkan selepas SPRM mengesyaki ramai lagi pegawai daripada jabatan berkenaan terlibat dalam penyelewengan berkenaan hasil daripada siasatan terhadap pegawai yang ditahan sebelum itu. - Bernama

Latest Articles