Bergambar bersama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Haji Aman (duduk lima dari kiri), Yamani Hafez (kiri keempat) dan Armizan (kanan ke-5)...
KENYATAAN MEDIA
KOLOKIUM MANIFESTO ORANG MUDA
Kolokium Manifesto Orang Muda yang berlangsung pada hari ini, Rabu, 17 Januari 2018 bertempat di Hotel Tabung Haji, Kota Kinabalu, Sabah telah menghimpunkan pimpinan muda dalam Barisan Nasional (BN) Sabah bagi membincangkan dan merumuskan aspirasi generasi anak muda akar umbi di Sabah. Aspirasi ini telah diterjemahkan dalam bentuk isu, syor dan cadangan dan akan diangkat untuk pertimbangan kepimpinan parti dan kerajaan. Hasrat Pemuda BN dan Puteri UMNO Sabah adalah agar Rumusan Kolokium Manifesto Orang Muda ini mendapat pertimbangan dalam penggubalan Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Selain itu, rumusan ini juga kita akan panjangkan sebagai maklum balas terhadap penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Antara fokus utama perbincangan adalah:
- Peluang pekerjaan dan pendidikan
- Sara hidup dan perumahan
- Pembangunan infrastruktur dan ekonomi dan
- Pengupayaan (empowerment) orang muda. Dalam aspek peluang pekerjaan dan pendidikan, kolokium merumuskan agar usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan perlu digerakkan secara serentak meliputi sektor awam, sektor swasta dan sektor keusahawanan.
Sehubungan itu, dalam konteks peluang pekerjaan, Kolokium mengambil ketetapan untuk mencadangkan kepada Kerajaan agar:
Meneruskan dan memperluaskan dasar afirmatif iaitu keutamaan kepada anak tempatan dalam pengambilan pekerja di sektor awam sebagaimana sasaran yang ditetapkan dalam nisbah guru di Sabah.
Meningkatkan strategi dan pendekatan secara agresif bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam merangsang pertumbuhan dalam sektor swasta dan sektor keusahawanan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah.
Menambah dan meningkatkan akses generasi muda di Sabah kepada dana latihan dan pembangunan keusahawanan. Usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai bentuk dana meliputi geran, bantuan modal dan pinjaman adalah amat dihargai, namun didapati ramai generasi muda masih tidak mendapat maklumat yang menyeluruh berhubung ruang dan peluang yang disediakan oleh Kerajaan. Dana latihan dan keusahawanan yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan ini perlu dirakyatkan di akar umbi.
Pemuda BN Sabah dan Puteri UMNO Sabah menghargai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) yang memberikan pinjaman perniagaan dengan akses yang amat meluas. Bagi negeri Sabah, sejak ditubuhkan pada tahun 1998 hingga 2017, TEKUN telah membantu para peniaga dan usahawan muda di bawah umur 40 tahun dengan memberikan pinjaman sebanyak RM231 juta. Strategi merakyatkan dan memperluaskan akses kepada dana latihan dan keusahawanan seperti ini perlu dipergiatkan. Ini termasuk aspek bimbingan dan pementoran keusahawanan.
Sekian.
YAMANI HAFEZ MUSA
Pengerusi Kolokium Manifesto Orang Muda merangkap
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah
Tiada ulasan
Catat Ulasan