Pasukan keselamatan yakin ketua kumpulan militan yang menceroboh Lahad Datu, Azzimudie Kiram masih berada dengan kumpulan itu yang kin...
Pasukan keselamatan yakin ketua kumpulan militan yang menceroboh Lahad Datu, Azzimudie Kiram masih berada dengan kumpulan itu yang kini berkubu di Kampung Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yakin Azzimudie tidak pernah keluar dari kawasan berkenaan sejak pencerobohan pada 12 Februari lepas.
“Sebagai ketua dia tidak akan lari. Kami masih yakin dia bersama kumpulan itu,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini, Rabu.
Hamza berkata keyakinan itu bersandarkan kawalan ketat pasukan keselamatan di kawasan zon merah Operasi Daulat termasuk melalui laut kerana kawalan di laut adalah amat kukuh dan pemantauan sentiasa dijalankan.
Hamza berkata tiada pertempuran dilapor sejak malam tadi hingga pukul 10 pagi ini dan operasi kini diperluas ke Sungai Nyamuk berhampiran Tanjung Batu.
Ditanya bila penduduk Kampung Tanduo akan pulang ke kampung mereka, beliau berkata perkara itu belum diputuskan kerana terdapat beberapa faktor perlu diteliti.
“Hanya ada 10 rumah di situ. Banyak aspek perlu dipertimbangkan termasuk sama ada tanah mereka duduki adalah milik mereka atau tidak dan taraf kerakyatan mereka.
“Pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) juga (menyebabkan) kami harus melihat secara lebih menyeluruh bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Tiada ulasan
Catat Ulasan