POLIS SEMPORNA TAHAN 33 SUSPEK DIPERCAYAI TERLIBAT DENGAN PENGGANAS SULU Semporna, 10 Mac - Polis menahan 33 suspek yang dipercayai ...
Semporna, 10 Mac - Polis menahan 33 suspek yang dipercayai terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu dan turut disyaki menyalurkan maklumat keselamatan kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata
kesemua suspek yang ditahan di kampung pinggir bakau di sini merupakan
warga asing dan mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu untuk soal
siasat.
"Mereka dihantar ke IPD Lahad Datu untuk soal siasat kerana ia
berkaitan dengan Op Daulat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi yang bermula pada 6.30 pagi dan berakhir pada 9
pagi memfokuskan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan turut menahan empat
suspek wanita.
Katanya, kesemua suspek yang berusia 18 tahun ke
atas itu, disiasat kerana dipercayai mempunyai kaitan dan melindungi
pengganas Sulu.
Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati
kira-kira 100 anggota polis dari IPD Semporna, VAT 69 dan Pasukan
Gerakan Am melakukan pemeriksaan ke setiap rumah bagi mencari dan
mengesan suspek pengganas Sulu.
Op Daulat yang dilancar bagi
memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk
hari keenam hari ini dengan 53 penceroboh militan dilaporkan ditembak
mati.
Sejak pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan
anggota polis terkorban iaitu dua maut dalam pertempuran di Kampung
Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Simunul
di sini sehari kemudian. - BERNAMA