Bunga Bangkai Indonesia Akan Dipamer Di Korea Selatan Oleh Ahmad Fuad Yahya JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Sekuntum bunga bangkai ...
Bunga Bangkai Indonesia Akan Dipamer Di Korea Selatan
Oleh Ahmad Fuad Yahya
JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Sekuntum bunga bangkai (Amorphophallus titanum) yang mekar di Kebun Raya Bogor akan menjadi antara item Indonesia untuk ditampilkan dalam pameran hortikultur antarabangsa di Korea Selatan dari 27 April hingga 2 Mei.
Bunga bangkai yang baru mekar kira-kira pukul 10 pagi ini di taman bunga itu, berukuran 222 sentimeter tinggi dan 75 sentimeter lebar.
"Ini kali pertama bunga bangkai menyertai pameran antarabangsa di luar negeri," kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam Kebun Raya Bogor, Sofie Mursidawati, seperti dipetik agensi berita Antara pada Rabu.
Sofie berkata bunga bangkai itu disiapkan sejak setahun lalu untuk pameran di Korea Selatan dan akan terlebih dahulu diawetkan sebelum dipamerkan.
Selepas pameran, bunga bangkai yang sudah diawetkan itu akan dibawa pulang ke Indonesia dan menjadi sebahagian daripada koleksi Kebun Raya Bogor untuk tatapan para pengunjung.
Sebelum ini pengunjung hanya dapat melihat bunga bangkai pada waktu yang terhad iaitu ketika mekar sahaja.
Bunga bangkai mendapat nama sedemikian kerana mengeluarkan bau busuk seperti bangkai, yang sebenarnya bertujuan menarik perhatian kumbang dan lalat bagi pendebungaan bunganya.
Masa mekar bunga bangkai hanyalah antara satu dan dua hari sahaja berbanding bunga Rafflesia yang boleh mekar dalam masa sekitar empat hingga enam hari.
-- BERNAMA
Tiada ulasan
Catat Ulasan