KOTA KINABALU: Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen untuk...
KOTA KINABALU: Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak
menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen untuk
menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet dalam subjek Fizik.
Androd Sadian, guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek,
Kota Marudu, berkata dengan pen ciptaannya yang dikenali Pen Android
atau Pen A, pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari tangan untuk
menentukan arah yang tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.
"Sekurang-kurangnya Pen A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga
markah dalam peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan
Malam Solidariti dan Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru
peringkat negeri, di sini, malam tadi.
Menurut Androd, pen itu juga boleh digunakan sebagai alat tulis biasa.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
negeri Datuk Masidi Manjun yang juga EXCO Pelajaran Sabah, berkata
kejayaan Androd adalah bukti kegigihan guru di kawasan pedalaman dalam
mencari kreativiti bagi menangani kekangan bertugas di kawasan
terpencil.
"...mereka berupaya mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan
semangat mereka untuk terus bersaing dalam pembangunan pendidikan,"
katanya.
Terdahulu, Masidi dalam ucapannya berkata tema Hari Guru tahun ini
iaitu 'Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda' amat bersesuaian dalam
menempuh era globalisasi yang berteraskan enam aspirasi murid iaitu
berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran
dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.
Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan pen itu serta sebuah buku
bertajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang
ditulis oleh pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu
Sansalu.
Menurut Dayu, buku setebal 300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di Sabah sejak 1,000 tahun lalu. - BERNAMA
Sila 'Like' jika anda suka artikel ini