Saudara Pengarang, SAYA Mohd Fadhli bin Khaharruddin, membuat laporan mengenai daftar undi yang membolehkan saya mengundi seban...
Saudara Pengarang,
SAYA Mohd Fadhli bin Khaharruddin, membuat laporan mengenai daftar undi
yang membolehkan saya mengundi sebanyak dua kali di pusat mengundi SK
Sungai Isap, Saluran 4, Kuantan, Pahang.
Berikut isi kandungan Laporan polis yang saya buat;
"Saya mendaftar undi pertama saya pada pukul 10.30 pagi dan undi kedua
pada pukul 1.15 petang. Sewaktu undi kedua saya tidak membuang undi
tetapi berhasrat menyimpan kertas undi dan no saluran sebagai bukti
bahawa prosedur dan kredibiliti SPR yang lemah, seperti dakwat yang
tidak kekal dan kebolehan mendaftar dua kali, tetapi tidak dibenarkan
oleh KTM pusat saluran 4. Repot ini dibuat untuk mengelak daripada
didakwa mempermainkan sistem pilihanraya. Sekian."

Isi
kandungan Laporan Polis di atas sudah cukup ringkas menceritakan apa
yang berlaku. Di sini saya ingin menjelaskan secara teliti untuk
menempis tohmahan buah mulut khabar angin liar.
Selesai
mengundi buat kali pertama, saya pulang ke rumah dengan niat untuk makan
tengahari, saya basuh tangan menggunakan sabun mandi (jenama tidak
pasti) dan saya dapati dakwat kekal luntur di jari telunjuk tangan kiri
kesannya berpindah ke tangan kanan dalam keadaan comot.
Saya
cuba menggunakan peluntur (Depex) yang terdapat di tandas untuk
hilangkan saki baki comot pada kedua-dua belah tangan. Terbukti, jari
kiri saya bersih tanpa ada kesan dakwat kekal.
Saya mencari
penyelesaian di internet dan media sosial menjumpai banyak lagi kes sama
berlaku di serata Malaysia. Hal ini membawa kemusykilan kerana isu
dakwat ini telah dibincang sejak 2008 hingga 2013 dan badan Suruhanjaya
Pilihanraya Malaysia (SPR) secara jelas mendakwa dakwat kekal dapat
bertahan 5-7 hari; walaupun dibasuh menggunakan medium berbeza.
Saya mengambil keputusan tanpa apa-apa perancangan untuk cuba mengundi
buat kali kedua pada pukul 1.15 petang. Barisan daftar undi tidak
seramai seperti pagi.
Saya beratur pada pusat mengundi yang
sama, saluran yang sama seperti pada pengundian pertama waktu pagi.
Semasa dipanggil untuk daftar undi oleh kerani pengundian, saya ikut
prosedur sama; tunjukkan kad pengenalan, jari dicalit dakwat kekal dan
penerimaan kertas undi.
Saya berjaya melepasi prosedur yang
sama tanpa sebarang masalah! Saya tidak membuang undi, tetapi membawa
kertas undi 2 helai dan nombor saluran keluar dan melaporkan kepada
polis petugas apa yang berlaku dan menyatakan hasrat untuk membuat
laporan polis.

Polis itu meminta dan memegang kad pengenalan dan merujuk kepada pegawai atasan beliau mengenai apa yang berlaku. Ada ramai anggota polis (5-6 orang) di sekeliling saya dan mereka ingin tahu dan ada yang tidak percaya. Ada yang meminta saya bersumpah dan tidak percaya ini berlaku.
Anggota polis menanyakan soalan "Kenapa kamu mengundi dua kali?"
Saya balas, "Kenapa saya boleh undi dua kali? Saya tidak perlu bagi
jawapan, Encik kena tanya pegawai SPR yang bertugas". Tiada kata
penyelesaian.
Ketua Tempat Mengundi (KTM) Saluran 4 dipanggil
untuk memberi jawapan, tetapi jawapan yang diberi "Ini tidak patut
terjadi", "Kemungkinan pengundi terlalu ramai" dan menerangkan prosedur
dan pengulangan jawapan sama beberapa kali.
Perbincangan
berterusan dan masih tiada kata putus. Calon-calon yang bertanding cuba
masuk campur dan mereka meminta bukti saya mengundi dua kali dan saya
menunjukkan kertas undi yang masih bersih tidak bertanda sebagai bukti
untuk laporan polis.
Tetapi, Ketua Tempat Mengundi tidak
membenarkan saya bawa keluar kertas undi tersebut. Saya cuba untuk
dapatkan kertas undi itu sebagai bukti untuk mengelak didakwa
mempermainkan pilihanraya.
Masih tidak membenarkan, saya
meminta orang ramai yang ada disitu untuk mengambil gambar saya, kad
pengenalan, kertas undi 2 helai dan kertas nombor saluran sebagai bukti
sebelum menyerahkan kertas-kertas undi dan nombor saluran kepada KTM.
Tiada kata putus dari mana-mana pihak, saya meminta kebenaran untuk
membuat laporan polis.
Pulang ke rumah, saya bersiap dan mandi
kerana ada sedikit kesan dakwat kekal di muka dan sekali lagi
menggunakan medium yang sama, dakwat itu luntur dengan mudah.
Abang saya menelefon dan meminta saya pergi ke rumah salah seorang calon
untuk mendapatkan butiran peribadi bagi mengelak dari apa-apa kejadian
buruk berlaku.
Sesudah itu, saya menaiki skuter ke Balai Polis
Kuantan berseorangan membuat laporan. Selesai menaip laporan sendiri,
saya diminta tunggu sebentar dan menaiki van polis kembali ke SK Sungai
Isap untuk siasatan dan kembali semula ke Balai Polis Kuantan untuk
catitan penyataan saya mengenai laporan yang dibuat.
Proses
menunggu agak lama kerana perlu menunggu Forensik dan jurugambar untuk
mendapatkan bukti. Semua selesai lebih kurang pukul 8 malam dan saya
dikehendaki ke Balai Polis 13 Mei 2013 ini untuk tindakan selanjutnya.
Hasil siasatan mendapati tempat mengundi menggunakan dua buku daftar
pengundi yang sama dan ditanda oleh dua kerani pengundian yang berbeza
untuk "melancarkan proses mengundi".
Dakwat yang didakwa kekal
5-7 hari, tidak kekal dan ini disahkan olen kerani pengundian SPR dimana
mereka sendiri tidak dapat menjumpai sisa atau kesan dakwat kekal pada
kedua-dua tangan saya yang membolehkan saya mengundi buat kali kedua.
Penjelasan; "Saya membuat laporan, BUKAN ditangkap!" Sila baca banyak kali jika tidak faham.
Saya faham hak saya sebagai pengundi. Saya sedia maklum jika saya
ditangkap untuk undi kali kedua, saya boleh dijatuhi hukuman bayar
RM5,000 atau 2 tahun penjara.
Saya non partisan, tegas saya di
sini. Saya tidak dibayar, bukan ahli dan tidak menuduh mana-mana parti.
Saya tidak berniat untuk mencabar SPR, tapi ingin menguji sistem yang
dikatakan 'bersih' dan terbaik di dunia.
Saya salah seorang
rakyat Malaysia yang ingin tahu mengenai dakwaan-dakwaan yang menyatakan
kegagalan SPR sebagai sebuah sistem pilihanraya yang telus dan saya
sendiri berjaya buktikan.
Jika kes saya adalah 'kesilapan',
saya ingin tahu, berapa banyak 'kesilapan' yang sama berlaku di
tempat-tempat mengundi yang lain? Berapa ramai yang membuat laporan dan
berapa ramai yang berjaya bolos?
Adakah SPR badan paling bersih di dunia seperti didakwa pengerusinya? Jawapan saya, tidak.
Anda pula bagaimana?
Salam Hormat,
MOHD FADHLI BIN KHAHARRUDDIN
Sumber