Mayat anak kapal Feri KM Francis Express Zulkarnain @ Zol, 22, ditemui terapung di laut oleh pasukan penyelamat Nunukan BASARNAS kira-kira...
Mayat anak kapal Feri KM Francis Express Zulkarnain @ Zol, 22, ditemui terapung di laut oleh pasukan penyelamat Nunukan BASARNAS kira-kira 7.15 pagi Rabu.
Zulkanain hilang selepas terjun ke laut ketika feri penumpang yang dinaikinya itu berlanggar dengan sebuah bot kargo di kawasan perairan Tawau pada Isnin lepas.

"APMM Tawau memaklumkan mayat seorang rakyat Indonesia, ditemui oleh pasukan penyelamat Nunukan BASARNAS awal pagi tadi," kata Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau Kapten Maritim Anor Jaafar kepada Bernama Rabu.
Beliau berkata dalam insiden kira-kira 6.15 petang itu, feri yang membawa 110 penumpang bersama-sama enam anak kapal, dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Nunukan.
"Jurumudi feri tidak dapat melihat kehadiran bot kargo dari arah bertentangan. Bot kargo itu juga tidak mempunyai sebarang lampu dan jurumudi feri tidak sempat mengubah haluan lalu bertembung dengan bot kargo KM Bunga Mekar itu," katanya.
Akibat pelanggaran itu, beliau berkata sembilan penumpang dan beberapa anak kapal feri berkenaan bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.
Selepas insiden itu, anak-anak kapal feri yang masih berada di atas feri berkenaan berjaya menyelamatkan penumpang dan anak kapal yang terjun ke laut, sebelum meneruskan perjalanan ke Nunukan.
Bagaimanapun, setibanya di jeti pelabuhan Tunon Taka, Nunukan kira-kira 7.30 malam, semakan ke atas penumpang dan anak kapal mendapati seorang tidak dapat dikesan.
APMM yang mendapat maklumat mengenai kehilangan itu terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
SAR berkenaan turut melibatkan pasukan polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan dibantu oleh sebuah helikopter APMM.
-- BERNAMA
Tiada ulasan
Catat Ulasan