Kontraktor Bumiputera dijangka tidak akan berhadapan dengan masalah mendapatkan bantuan modal lagi dalam melaksanakan projek-projek keraj...

Kontraktor Bumiputera dijangka tidak akan berhadapan dengan masalah mendapatkan bantuan modal lagi dalam melaksanakan projek-projek kerajaan apabila Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) mula diperluaskan ke Sabah dan Sarawak kelak.
Katanya pada tahun ini sahaja skim itu telah menyediakan nilai pinjaman berjumlah RM3.9 juta untuk melaksanakan projek kerajaan persekutan.
“Peruntukan sebanyak RM6 juta akan disalurkan ke SKWAK untuk pengagihan pinjaman pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Himpunan IBS Bumiputera Kebangsaan 2014 selama dua hari yang dihadiri sekitar 250 kontraktor dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia bagi memperkukuhkan pemahaman dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS) di sini, semalam.
Fadillah berkata kontraktor Gred G1 (kelas F) di seluruh negara boleh mula memohon pinjaman SKWAK bagi yang berjaya memperoleh projek-projek kerajaan persekutuan.
Beliau turut memberitahu, tempoh memproses permohonan kontraktor Gred G1 (kelas F) di bawah skim ini akan dipendekkan kepada 10 hari bekerja sahaja, berbeza dengan permohonan kontraktor Gred G2 hingga Gred G5 memandangkan kerja-kerja kontrak bagi kelas ini adalah singkat dan memerlukan bantuan kewangan modal secepat mungkin.
Penambahbaikan itu diramal dapat membantu kontraktor Gred G1 (kelas F) dari segi keperluan sumber kewangan dalam melaksanakan projek kerajaan persekutuan dan permohonan di bawah skim itu dijangka dibuka pada Januari 2015.
Mana-mana kontraktor Bumiputera berminat boleh menghubungi pejabat BPKU di Sabah dan Sarawak atau berhubung terus dengan pihak ibu pejabat di Putrajaya.
Selain itu, Fadillah memberitahu bahawa program ‘outreach’ akan dilaksanakan khusus untuk kontraktor Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan mewujudkan pusat hentian setempat di Miri dan Tawau, Sabah bagi meringankan beban kontraktor dari segi kos dan masa berulang-alik ke ibu negeri masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan permohonan baharu dan permohonan pembaharuan taraf Bumiputera.
“Kita juga sedang membincangkan secara terperinci untuk mewujudkan pusat hentian setempat tambahan di kedua-dua negeri ini, mungkin satu lagi di wilayah tengah Sarawak iaitu di Sibu dan di Kudat, Sabah namun ia tertakluk kepada dana dan tempat,” katanya.
Fadillah berkata kementerian akan mengeluarkan satu ‘Blue Pages’ yang merangkumi direktori semua usahawan atau vendor berdaftar dengan BPKU namun hanya yang komited dan memenuhi kriteria BPKU sahaja yang akan disenaraikan dalam direktori tersebut.
“Adalah menjadi hasrat saya agar Blue Pages ini akan menjadi satu-satunya direktori yang akan diguna pakai sebagai sumber rujukan oleh semua pihak jabatan atau agensi kerajaan persekutuan,” katanya sambil menambah, pelancaran direktori itu dijangka dilakukan pada Januari tahun depan.
Fadillah dalam pada itu turut menyifatkan kadar penggunaan IBS dalam melaksanakan projek-projek kerajaan didapati masih di tahap yang rendah kerana berdasarkan Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-10, daripada 848 jumlah keseluruhan projek bangunan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, hanya 161 projek atau 19 peratus daripadanya dilaksanakan secara IBS.
“Angka ini jelas menunjukkan masih banyak ruang penambahbaikan dalam usaha yang perlu diambil bagi membantu meningkatkan lagi pelaksanaan dan penggunaan IBS dalam projek-projek kerajaan pada masa akan datang,” katanya.
Setakat ini seramai 42 usahawan IBS Bumiputera di seluruh negara menyahut seruan kerajaan dalam membantu menjayakan pelaksanaan IBS dalam projek pembinaan.
“Oleh yang demikian, adalah amat penting dan wajar bagi Kementerian Kerja Raya merangka usaha dan inisiatif efektif serta bersesuaian untuk membantu usahawan IBS Bumiputera dalam menjadi pengusaha IBS disegani serta menyumbang ke arah pembangunan industri IBS lestari dan mampan,” katanya.
Objektif pelaksanaan IBS itu adalah bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk pembinaan, mempercepatkan tempoh pembinaan serta seterusnya mengurangkan tahap kebergantungan kepada pekerja asing dalam industri pembinaan negara.
NIKONVSCANON APA YANG TERBAIK
LIHATVIDEO DI BAWAH !
Tiada ulasan
Catat Ulasan