Seorang kerani kewangan yang baru melangsungkan perkahwinan kedua, maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam gaung ...
Seorang kerani kewangan yang baru melangsungkan perkahwinan kedua, maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam gaung di Kilometer 67, Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Mohd. Zubir Mohd. Husin, 45, yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bawah tebing yang curam.
Kereta mangsa kemudian terbalik ke dalam gaung dengan kedalaman empat meter.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Rahmat Othman berkata, kereta mangsa datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing dan kemalangan disedari orang awam yang terlihat kenderaan dalam gaung itu.
“Kereta itu ditemukan pukul 10.40 pagi dan pemandunya sudah meninggal dunia dalam kenderaan. Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kilang Sawit Tenggaroh Timur di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Rahmat berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Utusan Malaysia difahamkan sejak melangsungkan majlis perkahwinan dengan isteri keduanya, Roslina Muhammad, 45, pada 23 Januari lalu di Felda Air Tawar 3, mangsa sering berulang-alik dari Senai ke tempat kerjanya itu.
Sementara itu, jiran mangsa, Junainah Mohd. Sidek, 51, berkata, isteri pertama mangsa, Sarimah Abdullah, 49, tinggal di Terengganu bersama empat anak mereka iaitu dua masih bersekolah manakala dua lagi sedang menuntut di universiti awam.
Menurut Junainah, isteri pertama mangsa dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pukul 8.45 pagi.
Katanya, sebelum kemalangan, Sarimah ada menyatakan rasa tidak sedap hati kepada dia.
“Saya dan Sarimah agak rapat kerana di Felda Tenggaroh duduk berjiran sebelum Sarimah berpindah ke Terengganu untuk tinggal bersama keluarganya sejak sebulan lalu.
“Sarimah mengadu sejak beberapa hari ini dia sering mimpikan tentang ibu dan bapa mentuanya yang sudah meninggal dunia.
Tidak sangka pula rasa tidak sedap hatinya itu membawa petanda bahawa suaminya terlibat kemalangan maut,” katanya.
Tiada ulasan
Catat Ulasan