Datuk Ahmad Maslan KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyelar tindakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat ...
Datuk Ahmad Maslan |
KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyelar tindakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang dilihat cuba mengaitkan Agbimuddin Kiram dengan Umno Sabah.
Agbimudin Kiram, adik kepada ketua kumpulan yang menceroboh Sabah, Jamalul Kiram, didakwa Rafizi pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kudat atau penjawat awam bermula 1 Mac 1974 dengan gaji RM610.
"Kalau benar dia pernah jadi ADO Kudat pada 1970-an, ia tidak ada kaitan dengan Umno," kata Ahmad kepada pemberita selepas merasmikan 'Himpunan Patriot Gabungan NGO2 Sabah' di Dewan Maksak, Likas dekat sini, hari ini.
"Mana ada Umno (di Sabah) waktu itu...Umno masuk ke Sabah pada tahun 1990.
Saya kira ini satu lagi tuduhan terhadap Umno. Umno adalah satu parti yang amat rasional dan Barisan Nasional (BN) mempunyai tindakan yang rapi.
"Kita tidak sebodoh apa yang mereka sangkakan...takkan kita ingin melakukan sandiwara," kata Ahmad sebagai mengulas kenyataan Rafizi yang disiarkan media sosial.
"Saya sendiri pergi melihat (keadaan Lahad Datu) bukan sandiwara...Mereka (pembangkang) hanya duduk di bilik hawa dingin di pejabat PKR di Semenanjung, mana ada melihat apa yang berlaku...susahnya kita berhadapan dengan puak-puak pengganas ini," tegas Ahmad.
Beliau berkata Umno dan BN sentiasa memikirkan bagaimana mempertahankan bumi Sabah.
"Kita pertahankan supaya tidak ada seinci pun tanah kita ini jatuh ke tangan pengganas itu...itu kerja kita, kerja mereka (pembangkang) asyik menuduh macam-macam hal yang amat menjengkelkan dan (ini) amat mendukacitakan," katanya.
Mengenai 'Himpunan Patriot Gabungan NGO2 Sabah', Ahmad berkata ia bertujuan menunjukkan sokongan kepada usaha kerajan Sabah dan Malaysia bagi menyelesaikan dan menjamin kemenangan dalam membanteras pengganas Kiram.
Ahmad berkata, NGO-NGO yang menyertai program itu turut mencadangkan tambahan pengambilan anggota keselamatan di Sabah.
"Kita harap jumlah anak-anak Sabah yang menganggotai polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ditambah supaya apabila anak Sabah sendiri yang pertahankan bumi Sabah ini, sentimen patriotisme atau cintakan negeri itu lebih berbanding orang lain," katanya.- Bernama
Kenyataan ini mungkin berkaitan [ klik sini ]
Kenyataan ini mungkin berkaitan [ klik sini ]