KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Mohd Dinnie Kamarul Ariffin, pelajar tahun 6 Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan t...
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Mohd Dinnie Kamarul Ariffin, pelajar tahun 6 Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan tiba-tiba menyuarakan hasrat kepada ibunya untuk memilih kerjaya dalam bidang ketenteraan apabila dewasa nanti.
Terkejut dengan cita-cita yang baru terpacul dari bibir anaknya itu, Zainiah Kamarudin lantas bertanya, kenapa bidang itu yang dipilih sedangkan sebelum ini beliau bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.
Jawab anak keduanya jujur, "Angah nak berjuang pertahankan negara daripada musuh".
Semangat yang ditunjukkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu adalah luahan ikhlasnya setelah melihat apa yang berlaku di Lahad Datu. Pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu yang sehingga kini mengorbankan 10 orang pasukan keselamatan yang bertugas serta 57 di pihak penceroboh, membakar semangat serta membangkitkan rasa cintanya kepada negara.
Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai semangat yang sama seperti Mohd Dinnie. Perasaan tersebut semakin jelas apabila masing-masing menyuarakannya dan menyokong usaha yang dilakukan pihak keselamatan yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara tidak kira di dalam blog, media sosial seperti Facebook mahupun Twitter.
SEMANGAT TINGGI
Perkara ini turut diakui oleh Pengerusi Bridget Sukarelawan Khidmat Negara, Mohd Syafik Mohad Taufik yang melihat insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu memberi gambaran jelas kepada rakyat tentang tanggungjawab bersama menjaga keselamatan negara.
Walaupun tidak memegang senjata seperti pasukan keselamatan yang bertugas mempertahankan nyawa kira-kira 29 juta rakyat Malaysia, namun setiap warganegara Malaysia yang cintakan tanah air dan keamanan harus bersatu memainkan peranan masing-masing.
Ini termasuk menjaga kerahsiaan taktikal pasukan keselamatan seperti yang diminta pihak polis agar tidak menyebarkannya melalui media sosial sehingga sampai ke pengetahuan pihak musuh.
"Media sosial yang menjadi medium utama generasi muda hari ini harus ditapis dan seelok-eloknya digunakan untuk perkara positif seperti meluahkan semangat patriotisme dalam mempertahankan negara," katanya kepada Bernama.
Ujarnya lagi, insiden bersejarah itu juga menyangkal dakwaan pelbagai pihak yang sering mempertikaikan semangat patriotisme belia atau golongan muda sebelum ini.
"Terkorbannya 9 anggota keselamatan yang bertugas dalam Ops Daulat dengan ada yang dibunuh secara kejam, manakala seorang lagi anggota tentera maut dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi Operasi Daulat, telah membangkitkan lagi semangat petriotisme terutama dalam kalangan bekas pelatih PLKN yang kini seramai 700,000 orang.
"Ini terbukti apabila ada yang meluahkan rasa untuk sama-sama mengangkat senjata mempertahankan negara," katanya yang mempunyai 70,000 anggota yang aktif di seluruh negara.
WUJUDKAN WATANIAH
Tidak mahu semangat itu terhenti begitu sahaja, menurut Mohd Syafik usaha sedang dibuat untuk mewujudkan satu platun askar wataniah yang melibatkan bekas Pelatih Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Yang jelas, katanya, berikutan insiden Lahad Datu, ramai dalam kalangan anggotanya berkobar-kobar untuk turut sama menyertainya.
"Dijangka platun askar wataniah bekas pelatih PLKN akan direalisasikan pada tahun ini juga," katanya.
Selain itu, pihaknya sedang merancang untuk menghantar pasukan sukarelawan ke Lahad Datu untuk mengadakan sesi khas bersama penduduk yang terjejas dengan memberi semangat, sokongan serta keyakinan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan berikutan insiden yang terjadi selain bantuan lain.
Mohd Syafik berkata, sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan dan pihak yang mengambil kesempatan daripada insiden pencerobohan yang berlaku hanya mencari publisiti murah dan tersilap isu untuk dipermainkan.
"Ia telah membangkitkan kemarahan rakyat termasuk seluruh bekas pelatih PLKN sendiri. Sepatutnya isu pertahanan negara menjadi suara penyatuan dalam masyarakat sebuah negara berdaulat seperti Malaysia," katanya mengakui pengalaman yang dikutip dalam PLKN membentuk semangat cintakan negara yang tinggi dalam kalangan pelatih dan bekas pelatih.
PERCEPATKAN PEMAHAMAN
Peristiwa di Lahad Datu telah mempercepatkan pemahaman dan ketidakjelasan rakyat melalui perasaan, perkataan dan fizikal tentang sayangkan negara, semangat patriotisme dan kedaulatan negara, demikian menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din.
Sebelum insiden Lahad Datu, perasaan sayang kepada negara, semangat patriotisme dan menjaga kedaulatan negara tidak jelas, malah perkataan atau percakapan yang membangkitkan semangat itu jarang disebut.
"Perbuatan menunjukkan semangat itu juga bermusim, yang hanya dapat dirasakan pada hari-hari tertentu seperti sambutan kemerdekaan.
"Tetapi apabila berlaku peristiwa pencerobohan itu, telah meningkatkan kejelasan rakyat melalui perasaan, perkataan dan fizikal tentang tiga perkara tersebut iaitu semangat cintakan negara, patriotisme dan kedaulatan negara," katanya.
Di mana-mana semangat itu boleh dilihat termasuk melalui penulisan di dalam media, blog, media sosial, malah ada yang mencapai tahap patriotisme paling tinggi hingga sanggup untuk bersama-sama berjuang di sana.
Rakyat juga semakin memahami bahawa sebuah negara itu bukan sekadar tempat untuk hidup, mencari rezeki, tempat mencari ilmu, tempat untuk membina kehidupan dan berumahtangga, katanya.
Sebaliknya masyarakat kini memahami bahawa sebuah negara itu mempunyai kawasan, wilayah, kerajaan, rakyat dan kedaulatannya.
"Rakyat juga semakin faham sejarah terutama tentang Sabah. Malah kini kita jelas bahawa Malaysia itu dari Perlis sampai ke Sabah dan kedaulatan itu perlu dipelihara agar tidak ada walau satu inci tanahnya hilang," katanya.
KEKALKAN PERASAAN CINTAKAN NEGARA
Setelah 56 tahun merdeka pada tahun ini, episod yang berlaku di Lahad Datu seharusnya menjadi iktibar bahawa keselamatan negara boleh tergugat jika tidak dipelihara.
Ia menjadi pengajaran bahawa jangan bersikap sentiasa merasa selesa dengan apa yang ada, sebaliknya harus berhati-hati kerana ia tidak akan kekal jika budaya untuk mempertahankannya tidak ada.
Jelas Mohamed Fadzil, lihat sahaja contoh di negara luar seperti Tunisia, sejak Arab Spring tiga tahun lepas, keamanan masih belum tercapai dengan ramai mahasiswa masih lagi bertindak membakar diri walaupun Presiden sudah bertukar.
Keadaan hampir sama yang berlaku di Mesir, Syria dan Yaman harus diambil pengajaran, katanya.
Untuk memastikan perasaan dan semangat dari sejarah yang berlaku di Lahad Datu berterusan, peristiwa itu harus dikurikulumkan dalam kalangan penjawat awam, universiti, mahasiswa, orang awam mahupun pelajar sekolah.
"Bukan sekadar kurikulum, penyampai termasuk guru terutama yang mengajar sejarah harus mahir menyampaikan isi kandungan peristiwa tersebut kerana kita faham, walaupun ramai guru sejarah yang bagus, masih ada guru sejarah yang kurang berkemahiran, menyebabkan pelajar bosan dengan subjek sejarah.
"Kaedah penyampaian juga harus dipelbagaikan sama ada menggunakan multi media, pengajaran, penceritaan, wayang-wayang filem, drama bersiri ataupun komik," katanya yang menganggap banyak pengajaran yang baik yang harus diambil daripada insiden Lahad Datu.
RAKYAT FOKUS
Ujarnya lagi, rakyat juga semakin faham bahawa untuk mewujudkan sebuah negara yang kukuh, memerlukan pasukan pentadbiran yang terbaik.
"Jika sebelum ini pemikiran rakyat berterabur, tidak fokus dalam memilih pentadbir, saya percaya selepas berlaku peristiwa Lahad Datu rakyat lebih fokus.
"Mereka memahami bahawa isu pertahanan negara adalah satu perkara penting dan ini mempercepatkan pemahaman rakyat bahawa kalau ingin memilih kerajaan harus memilih kerajaan yang bijak, betul dan tidak boleh memilih sebarangan.
"Sehingga kini kerajaan Malaysia telah mengurus dan mentadbir negara dengan baik termasuk dalam menangani isu pencerobohan pengganas di Lahad Datu", katanya.
-- BERNAMA