Ditahan di bawah SOSMA KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman, yang hari i...
Ditahan di bawah SOSMA
KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman, yang hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata Muhammad Ridhwan ditahan untuk siasatan lanjut setelah polis mengambil keterangannya.
"Kami tahan dia di bawah Sosma dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor," katanya kepada Bernama di sini.
Muhammad Ridhwan yang memakai baju Melayu merah dan berserban hitam, hadir bersama lebih 10 orang kenalan dan peguamnya di balai polis itu pada 11.05 pagi tadi.
MUHAMMAD Ridzwan memberi kenyataan kepada media |
Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.
Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.
"Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram," katanya.
Lelaki berusia awal 50-an itu menyerah diri selepas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam menamakannya sebagai orang yang dicari untuk membantu siasatan berhubung kes berkaitan Operasi Daulat.
Hamza berkata Muhammad Ridhwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, diminta menyerahkan diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.
Dengan penahanan itu, jumlah mereka yang ditahan di bawah SOSMA bagi membantu siasatan kes pencerobohan Sabah, kini ialah 122 orang. - myMetro
Tiada ulasan
Catat Ulasan