Kami tidak mahu tinggal lagi di situ - Penduduk Kg Tanduo 1st April, 2013 Militan dari selantan Filipina yang mendarat di Kg. T...
Kami tidak mahu tinggal lagi di situ - Penduduk Kg Tanduo
1st April, 2013
Militan dari selantan Filipina yang mendarat di Kg. Tanduo pada 12 Feb 2013 |
LAHAD DATU: Pendaratan kumpulan militan dari selatan Filipina di pesisir pantai Lahad Datu, khasnya di Kampung Tanduo, dekat sini 12 Feb lepas membawa pelbagai cerita duka kepada penduduk sekaligus merubah rutin kehidupan daripada ceria kepada malapetaka.
Diselimuti hutan sekunder dan dipisahkan sebatang sungai dari kawasan ladang kelapa sawit Sungai Nyamuk, petempatan itu yang dilatari pokok-pokok renek dan kawasan berpaya serta menghadap laut didiami 12 keluarga, rata-rata bekerja sebagai nelayan dan pekerja ladang.
Namun, dalam sekelip mata kedamaian perkampungan itu lenyap dan bertukar menjadi zon perang apabila sekumpulan lelaki asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api mendarat pada hari Selasa, lebih sebulan lepas.
Kedegilan kumpulan kira-kira 200 orang itu berundur dari Kampung Tanduo setelah diberi peluang, memaksa kerajaan melancarkan gerakan ofensif ke kubu penceroboh itu pada kira-kira 7 pagi, 5 Mac menggunakan tiga jet penyerang F/A 18D Hornet.
Gerakan ofensif Operasi Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk melancarkan operasi pengeboman, diikuti ledakan bertalu- talu mortar 91mm pasukan tentera darat sebelum penggeledahan dilakukan untuk memburu saki-baki pengganas.
Setelah melalui proses penggeledahan dan pembersihan yang panjang, Kampung Tanduo yang menjadi titik pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan akhirnya diisytihar bersih dan bebas daripada ancaman pada 11 Mac, sekaligus membawa khabar gembira kepada penghuninya yang terpaksa berpindah ke beberapa pusat petempatan sementara.
Bagaimanapun, kegembiraan penduduk untuk kembali ke rumah bertukar pilu apabila melihat sendiri kemusnahan yang dialami kampung mereka.
Kepulangan semula mereka ke rumah masing-masing Selasa lalu selepas 43 hari insiden pencerobohan disambut pemandangan menyayat hati menyaksikan ketenangan kampung yang dinikmati sebelum ini lenyap daripada pandangan dengan rumah-rumah dan harta benda musnah.
Hampir semua rumah mempunyai kesan tembakan akibat pertempuran dan ada yang hanya tinggal tiang, atap atau serba tidak lengkap, satu gambaran yang sebelum ini hanya dilihat dalam peperangan di luar negara menerusi televisyen.
“Saya tidak mahu tinggal di sini lagi…,” ungkapan oleh Atareh Sabtal, 39, cukup untuk menggambarkan kehampaan dan kepiluan penduduk kampung itu.
Kenangan hiba yang bakal kekal dalam ingatan itu diceritakan semula oleh Asaad Majijil, 70, yang memberitahu bahawa pertempuran itu menyebabkan beliau dan keluarga kehilangan dokumen peribadi setelah rumah yang didiami sejak 50 tahun lepas musnah sama sekali.
“Sangat sedih untuk melihat keadaan rumah, memang teruk, dahsyat dan menakutkan,” katanya sambil air mata berlinangan.
Berikutan kerosakan teruk yang dialami kampung itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib kemudian mengumumkan Kampung Tanduo akan ditutup serta tidak lagi menjadi kawasan petempatan dan penduduk yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baharu.
Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir berkata keputusan itu membolehkan pihak berkuasa menyusun semula penduduk kampung itu yang sebelum ini tinggal secara berselerak di satu kawasan penempatan baharu yang lebih kondusif di atas tanah kerajaan seluas 120 hektar.
Anggota Dewan Undangan Negeri Tungku Datuk Mohd Suhaili Said pula berkata penduduk tidak perlu bimbang kerana semua yang terlibat akan ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat Masej Nala, kira-kira 60 kilometer dari kampung itu sebelum penempatan baharu disiapkan.
Menyambut baik langkah menempatkan semula penduduk kampung itu di satu kawasan baharu, Atareh, yang masih trauma selepas menyaksikan rumahnya musnah teruk, berkata keputusan itu amat tepat, sekaligus mengembalikan keyakinan mereka untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya tidak mahu tinggal di sini lagi…saya juga tidak mahu tinggal dalam komuniti yang mempunyai musuh dalam selimut, jadi adalah baik jika ditawarkan sistem perumahan yang teratur,” katanya.
Dalam pada itu, seorang komando tentera yang terlibat dalam operasi awal memerangi pengganas di Kampung Tanduo berkata lokasi kampung itu yang agak jauh dan terasing daripada masyarakat memungkinkan pelbagai kejadian jenayah selain mudah terdedah kepada ancaman pengganas, khususnya dari laut.
“Lokasinya yang hampir dengan laut dan dekat dengan negara jiran cukup berisiko, ditambah lagi dengan keadaan hutan serta berpaya dan laluan berliku untuk sampai ke kampung itu….ini semua menyukarkan pihak keselamatan memberi bantuan segera sekiranya terjadi sesuatu insiden buruk,” katanya yang enggan dikenali. - NST