Mangsa Buat Laporan di Kota Belud sebelum Suspek diberkas di Tuaran - satusabah.com KOTA KINABALU: Tembelang dua rakan yang menjadikan...
Mangsa Buat Laporan di Kota Belud sebelum Suspek diberkas di Tuaran - satusabah.com
KOTA KINABALU: Tembelang dua rakan yang menjadikan portal beli-belah sebagai ‘lubuk’ memperdayakan wang mangsa, akhirnya terbongkar selepas ditangkap dalam kejadian di sini kelmarin.
Dalam insiden berlaku di Kota Belud itu, difahamkan mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan tertipu selepas membuat pembelian kereta terpakai Naza Sutra dengan suspek, dengan menggunakan kemudahan laman sesawang WWW.MUDAH.COM.
Turut difahamkan mangsa juga telah bertemu dengan salah seorang suspek lelaki berusia 31 tahun sebelum itu dan diyakinkan untuk memberi wang deposit RM3,740 menerusi satu akaun milik seorang wanita.
Bagaimanapun, suspek kemudian melarikan diri sejurus urusniaga berkenaan selesai sehingga mengakibatkan mangsa yang menyedari dirinya tertipu, membuat laporan polis di Kota Belud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri Superintenden Saiman Kasran berkata, bertindak ke atas maklumat diterima, sepasukan polis akhirnya berjaya mengesan kedua-dua suspek di sekitar Pekan Tuaran pada Isnin lalu.
“Kita berjaya menahan dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam kes tipu terbabit. Polis juga merampas sebuah telefon bimbit bersama seunit kad sim serta sekeping kad ATM,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, modus operandi kedua suspek adalah dengan menggunakan taktik menyiarkan iklan di laman sesawang berkenaan tujuan penjualan barangan terpakai di Internet.
“Selepas berjaya menjerat mangsa, suspek kemudian mengarahkan mereka yang berminta barangan itu untuk menghubungi satu nombor di telefon bimbit.
“Salah seorang suspek kemudian berpura-pura meminta mangsa memasukkan wang tunai sebagai pembayaran deposit ke dalam sebuah akaun secara atas talian sebelum bertindak menghilangkan diri,” katanya.
Saiman berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman dan dikenal pasti terlibat dengan sebanyak tujuh kes menggunakan taktik serupa termasuk di daerah Kota Kinabalu, Kota Belud dan Tenom.
“Saya menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika membuat tempahan di Internet atau secara atas talian kerana dikhuari menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Utusan Borneo
ليست هناك تعليقات
إرسال تعليق