Portal Satu Sabah : Helah seorang pemuda yang cuba melakukan pusingan U bagi mengelak sekatan jalan di Jalan Sulaman pada malam kelmari...
Portal Satu Sabah : Helah seorang pemuda yang cuba melakukan pusingan U bagi mengelak sekatan jalan di Jalan Sulaman pada malam kelmarin tidak berhasil gara-gara motosikal ditunggangnya mengalami kerosakan.
Difahamkan dalam insiden kira-kira jam 10.40 malam itu, lelaki yang berusia 20an itu dikatakan cuba melarikan diri sebaik menyedari sekatan jalan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah.
Namun tindakan itu hanya sia-sia selepas dia ditahan oleh beberapa anggota JPJ yang berada di lokasi itu dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal terbabit mempunyai cukai jalan tamat tempoh.
Ia merupakan sebahagian gelagat daripada pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan dengan rata-ratanya mencari helah dengan membuat pusingan U semula bagi mengelakkan pemeriksaan sekatan jalan itu.
Operasi yang dilaksana bersempena Ops Khas Motosikal pada musim Aidilfitri bermula jam 7 malam itu membabitkan seramai 54 anggota JPJ Sabah, yang menyaksikan 194 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya.
Pengarahnya Suhaili Mohd Taufik berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 135 motosikal dan 255 kenderaan dalam operasi itu.
“Kita telah mengeluarkan sebanyak 195 notis saman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, pengubahsuaian kenderaan dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya di sini malam kelmarin.
Untuk rekod, beliau berkata sebanyak 1,136 motosikal diperiksa di seluruh negeri dan pemeriksaan lanjut sebanyak 274 motosikal diambil tindakan manakala tiga motosikal disita menerusi Ops Khas Motosikal di seluruh Sabah.
Turut hadir adalah Ketua Penolong Pengarah JPJ Sabah, Abdul Rahman Zakaria.
Dalam pada itu, Suhaili berkata sebanyak 2,154 notis saman telah dikeluarkan sepanjang Ops Perayaan Hari Raya 2014 yang bermula pada 21 Julai hingga 5 Ogos lalu.
“Manakala bagi kesalahan lesen memandu, kita telah mencatatkan sebanyak 1,134 kes, cukai jalan dengan 316 kes, tindakan ke atas 1,130 buah kenderaan, tindakan ke atas 547 motosikal sementara 11 lagi adalah motosikal yang disita.
“Bagi kesalahan potong barisan Q mencatat 20 kes, garisan berkembar 27 kes, tidak mematuhi lampu isyarat 30 kes, telefon bimbit 11 kes, tidak memakai tali pinggang keledar 39 kes, tidak memakai topi keledar empat kes dan menggunakan lorong kecemasan dengan satu kes,” katanya sambil menambah, antara kesalahan lain dilaporkan adalah seperti ubahsuai kenderaan, cermin gelap serta penggunaan lampu High intensity Discharged (HID). Utusan Borneo
ليست هناك تعليقات
إرسال تعليق