Berita Negeri Sarawak : Ambulans terbabas Punca warga emas mati sebelum ke hospital Seorang pesakit lelaki warga emas yang dalam perjala...
Berita Negeri Sarawak : Ambulans terbabas Punca warga emas mati sebelum ke hospital
Seorang pesakit lelaki warga emas yang dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching maut apabila ambulans dinaiki terbabas di Kilometer 66 Aping, Jalan Sri Aman-Kuching, jam 12 tengah hari tadi.
Mangsa Bernard Lium Barandang, 65, parah di kepala dan dada, manakala anak lelakinya, jururawat dan pemandu hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pantu untuk mendapatkan rawatan selepas parah dalam kemalangan itu.
Katanya, mangsa menaiki ambulans dari Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan penyakit kekurangan darah merah di Hospital Kuching.
Bagaimanapun, sebaik tiba di selekoh jalan berkenaan ambulans terbabas ke kawasan semak di tepi jalan.
"Mayat dihantar ke Hospital Sri Aman sebelum dibawa ke Hospital Betong untuk tindakan susulan.
"Siasatan awal mendapati jalan di lokasi kejadian licin selepas hujan dan dalam penyelenggaraan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. HMETRO
ليست هناك تعليقات
إرسال تعليق