Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Labuan Berpotensi Muncul Destinasi Pilihan Pelancong China

Labuan bakal muncul sebagai destinasi pilihan ramai pelancong China berikutan pelbagai tarikan yang ditawarkan pulau bebas cukai berkena...

Labuan bakal muncul sebagai destinasi pilihan ramai pelancong China berikutan pelbagai tarikan yang ditawarkan pulau bebas cukai berkenaan.

Keyakinan itu disuarakan sekumpulan 43 ejen pelancongan China yang tiba bagi lawatan selama lima hari, sejak 2 Mei lepas.

Antara tempat menarik yang sempat dikunjungi mereka termasuk perkampungan air Kampung Patau-Patau dan Taman Marin Labuan yang merangkumi Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar serta Pulau Rusukan Kecil.

Jurucakap kumpulan itu yang juga Pengurus Perkhidmatan Pengembaraan Antarabangsa China, Liu Zhigang, berkata mereka mengagumi tarikan di Labuan itu, termasuk kedudukannya sebagai pulau bebas cukai.

"Menerusi pengamatan serta pengalaman kami sepanjang berada di sini, Labuan sememangnya mempunyai potensi untuk menjadi destinasi pilihan dan diminati oleh kalangan pelancong China," katanya pada sidang media, malam semalam.

Kumpulan ejen pengembaraan itu dibawa oleh syarikat ejen pelancongan tempatan, LMB Global Sdn Bhd yang turut menjadi antara usaha memperkenalkan Labuan kepada pelancong China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Global LMB, Chung Wei Keong berkata kunjungan mereka juga bagi membolehkan ejen-ejen pelancongan China itu mengenali serta menyelami keunikan Labuan sebagai destinasi percutian.

"Barisan ejen pelancongan ini memainkan peranan penting bagi perkhidmatan penerbangan sewa khas kendalian LBS selama enam bulan yang dijadual bermula pada 15 Julai depan," katanya.

Chung berkata, sebuah pesawat Boeing 747-800 akan digunakan bagi perkhidmatan harian itu yang boleh membawa minimum 160 penumpang dari China ke Labuan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, menyifatkan kehadiran pelancong China itu dapat melonjakkan industri pelancongan wilayah itu.

"Ekonomi Labuan banyak bergantung kepada kegiatan minyak dan gas. Namun, perkembangan semasa yang menyaksikan kelembapan harga minyak global ternyata turut menjejaskan pembangunan wilayah ini.

"Oleh itu, kita berharap dengan usaha memajukan industri pelancongan Labuan, ia dapat menjana semula ekonomi kawasan ini," katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan

Latest Articles