KOTA KINABALU: Polis meminta masyarakat, khususnya etnik Bajau dan Suluk di perkampungan sekitar bandar raya ini supaya bekerjasama meny...
KOTA KINABALU: Polis meminta masyarakat, khususnya etnik Bajau dan Suluk di perkampungan sekitar bandar raya ini supaya bekerjasama menyalurkan maklumat jika mengesan ada warga Filipina lari ke penempatan mereka, susulan pergolakan di selatan negara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata maklumat itu diperlukan kerana pihaknya percaya jika ada warga Filipina cuba melarikan diri dari kawasan bergolak terbabit, kemungkinan mereka akan mencari ahli keluarga di Sabah, termasuk di daerah ini.
Chandra berkata, walaupun belum menerima laporan berhubung perkara ini, kerjasama semua penduduk amat diperlukan jika melihat individu mencurigakan di kawasan penempatan mereka.
“Kita mahu penduduk menjadi mata dan telinga polis kerana pihak berkuasa tidak mampu memantau pergerakan keluar masuk orang di setiap kampung.
“Dalam hal ini, kita bekerjasama dengan ketua kampung, ketua komuniti dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar dapat menyebarkan penerangan berkaitan perkara ini kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Kampung, Ketua Komuniti dan Pengerusi JKK Daerah Kota Kinabalu yang dihadiri lebih 60 pemimpin masyarakat di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Superintendan Mohd Azhar Hamin; Ketua Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti daerah, Deputi Superintendan Kalsom Idris dan Ketua Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Norazizulkifli Mansur.
Chandra berkata, perjumpaan itu juga antara inisiatif pihaknya dan komuniti kampung untuk saling mengenali antara satu sama lain.
“Dengan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua pihak, pasti dapat memudahkan polis menahan penjenayah menerusi maklumat yang diberikan,” katanya. – BH Online