Gerik: Seorang remaja maut selepas lif pemunggah barang menghempap bahagian kepalanya dalam kejadian di sebuah kedai ubat di sini jam 7....
Gerik: Seorang remaja maut selepas lif pemunggah barang menghempap bahagian kepalanya dalam kejadian di sebuah kedai ubat di sini jam 7.20 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharom berkata, mangsa Noor Syarmila Abu (gambar), 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala.
Katanya, tiada unsur jenayah ditemui berhampiran kawasan kejadian tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik, Meor Mohd Meor Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.43 malam dan menggunakan alat menyelamat khas untuk mengeluarkan mangsa dengan operasi yang tamat pada jam 10.30 malam.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menjenguk ke bawah dari lif yang dinaikinya seorang diri di tingkat satu setinggi kira-kira 4.5 meter dan pada masa sama dia tertekan butang turun menyebabkan tengkuknya tersepit.
Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Bersia Lama semalam selepas dibedah siasat di Hospital Gerik.
Sementara itu, ibu mangsa, Radziyah Khamis, 61, berkata beliau sempat membekalkan agar-agar kepada Noor Sharmila untuk berbuka bersama-sama rakan sekerjanya.
Ucap selamat tinggal pada ibu
Radziyah berkata, anak bongsu daripada sembilan beradik itu sempat mengucapkan selamat tinggal kepadanya dan adik beradik lain ketika mahu menunggang motosikal ke tempat kerjanya kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.
Syarmila baru sebulan bekerja sambilan di kedai itu sebelum dia dijangka memasuki universiti pada September depan selepas menamatkan kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak.
Mak cik terkedu sebaik mengetahui dia mengalami kemalangan itu pada jam 8 malam selepas diberitahu seorang saudara yang bekerja di kedai berhampiran.
Pada mulanya makcik menyangka hanya cedera ringan tetapi tidak sangka ia membawa maut, katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Radziyah berkata, dia terkilan kerana Noor Syarmila bukan saja tidak sempat berhari raya. Baju raya yang ditempah daripada kakaknya juga hampir siap, malah dia anak harapan keluarga belajar sehingga ke universiti.
Dia reda dengan kejadian yang berlaku beberapa hari menjelang ketibaan Aidilfitri.
ليست هناك تعليقات
إرسال تعليق