Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

MH17 : Pemimpin Pembangkang Puji Tindakan PM Berunding Senyap sebagai Langkah Tepat dan Wajar

Berita Terkini Mh17 Risiko yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berunding dengan ketua pemisah pro-Rusia...

Berita Terkini Mh17

Risiko yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berunding dengan ketua pemisah pro-Rusia dalam menangani tragedi MH17 dipuji pihak pembangkang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan secara senyap Perdana Menteri dalam mengendalikan tragedi itu iaitu berunding dengan ketua kumpulan pemisah Alexander Borodai dianggap langkah tepat dan wajar.

“Biarpun rundingan berkenaan mungkin mencetuskan kontroversi tetapi ia merupakan langkah yang tepat dan wajar.

“Kita faham sebagai pemimpin bertanggungjawab, Perdana Menteri harus menjaga kepentingan rakyat kerana tiada cara lain melainkan kita berunding dengan pihak pemisah,” katanya ketika membahaskan usul mengutuk tindakan mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MAS, MH17 pada mesyuarat khas Parlimen di sini Rabu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Kita perlu memastikan kalangan yang bertanggungjawab itu dihadapkan ke mahkamah antarabangsa dan saya menggesa kerajaan dalam keadaan berhadapan dengan dua kuasa besar kita perlu tegas dan tidak memperlihatkan rasa bimbang untuk mendakwa pihak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya pihak pembangkang berdiri teguh di belakang kerajaan persekutuan untuk menyokong apa sahaja usaha bagi mencari kebenaran mengenai tragedi MH17 dan usaha membawa balik dan mengendalikan mayat penumpang rakyat Malaysia.

Anggota Parlimen Bagan daripada DAP, Lim Guan Eng pula berkata menggunakan saluran diplomatik secara senyap adalah cara yang baik demi mencapai keputusan yang dikehendaki.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata DAP bersedia untuk bersama-sama kerajaan persekutuan dan menyokong usaha mereka untuk membawa pulang jenazah mangsa, memastikan siasatan rapi serta menegakkan keadilan untuk mangsa.

Lim berkata DAP juga akan terus memberi sokongan terhadap MAS dan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tersebut.

“Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada MAS dan warga kerja bukanlah sekadar ucapan sahaja, maka kami ingin menunjukkan keyakinan dengan terus menggunakan MAS, kalau masa penerbangan mengizinkan,” katanya.
Beliau seterusnya memberikan cadangan agar Malaysia memberikan tekanan kepada kerajaan Rusia termasuk tekanan ekonomi jika mereka gagal memberikan kerjasama yang baik dalam menangani tragedi MH17.

“Kita tidak boleh takut-takut untuk menggunakan apa sahaja pengaruh yang ada untuk meletakkan tekanan yang perlu demi mendapatkan kebenaran,” katanya.

Dalam pada itu, Lim mencadangkan supaya Malaysia menangguhkan bayaran bagi pembelian pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM bernilai AS$900 juta sebagai menunjukkan tekanan terhadap mereka.

“Pesawat ke-18 dan yang terakhir, baru sahaja dihantar pada bulan Ogos 2011, jika Malaysia belum lagi menyelesaikan pembayaran untuk pesawat-pesawat ini, kita harus bersedia untuk menangguhkan bayaran, jika perlu.

“Malaysia juga mesti bersedia untuk membatalkan, jika perlu, projek Angkasawan kedua yang menjadi sebahagian daripada pembelian Sukhoi jika kita merasakan bahawa pihak berkuasa Rusia tidak memberikan kerjasama penuh kepada komuniti antarabangsa dan kepada Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pokok Sena daripada PAS Datuk Mahfuz Omar memberikan cadangan agar kerajaan dan pihak terlibat mengambil pengajaran melalui tragedi MH17 agar kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

“Selepas peristiwa tersebut (MH17), ‘risk assessment’ (penilaian risiko) perlu dilakukan oleh MAS, Air Asia, Wisma Putra atau pihak kerajaan yang terlibat beri laporan lengkap laluan selamat atau tidak terutama laluan di negara yang berkonflik.

“Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) untuk menentukan laluan itu berisiko atau tidak,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS. 
BERNAMA

ليست هناك تعليقات

Latest Articles