MIRI: Seorang lelaki nyaris maut ditembak menggunakan senjata dipercayai senapang angin oleh sekumpulan lelaki yang berang gara-gara dit...
MIRI: Seorang lelaki nyaris maut ditembak menggunakan senjata dipercayai senapang angin oleh sekumpulan lelaki yang berang gara-gara ditegur memandu secara berbahaya.
Mangsa yang ketakutan lalu memecut laju kenderaannya untuk melarikan diri dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian tersebut.
Menurut sumber, sekitar jam 5 petang semalam, mangsa yang memandu seorang diri kereta jenis Proton Wira pergi ke kawasan berhampiran sebuah tapak meletakkan lori sampah di Sungai Rait, Bakam untuk mencari sayur hutan.
Semasa dalam perjalanan, dia telah berselisih dengan sebuah lori sampah yang dipandu secara berbahaya.
Berikutan itu, mangsa telah memberhentikan kenderaannya untuk menegur pemandu lori sampah terbabit atas perbuatannya yang memandu secara berbahaya sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi yang ingin dituju.
Bagaimanapun, sebaik memberhentikan kenderaannya, mangsa ternampak sekumpulan enam lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul tidak jauh dari tempat dia memberhentikan kenderaannya.
Kumpulan lelaki terbabit dilihat menuju ke arah mangsa sambil seorang daripada mereka memegang sebilah parang dan seorang lagi mengeluarkan satu objek menyerupai senjata dipercayai senapang angin.
Lelaki terbabit lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang masih duduk di dalam keretanya.
Mangsa bernasib baik kerana ‘peluru’ tersebut yang dipercayai guli tidak berjaya menembusi cermin kereta sebaliknya terkena bahagian atas cermin sebelah pemandu.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa memecut laju kenderaannya meninggalkan tempat kejadian untuk menyelamatkan diri.
UTUSAN BORNEO -djkupang
Tiada ulasan
Catat Ulasan