23/08/2014 Perkembangan Terkini Perintah Berkurung di Negeri Sabah : Gambar dua Suspek Penculikan di Pantai Timur Sabah dikenal Pasti !! ...
23/08/2014 Perkembangan Terkini Perintah Berkurung di Negeri Sabah : Gambar dua Suspek Penculikan di Pantai Timur Sabah dikenal Pasti !!
Dua daripada tiga suspek lelaki yang melarikan diri selepas terserempak dengan kapal Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan antara Tanjung Sirongol dan Pulau Maiga, Semporna Khamis lepas telah dikenal pasti.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an, merupakan adik-beradik serta berasal dari Tawi Tawi, Filipina.
“Kedua-dua suspek dipercayai aktif dengan kumpulan penculikan dan dikatakan mempunyai 30 hingga 40 pengikut selain memiliki empat bot dengan kekuatan antara 40 dan 70 kuasa kuda,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan PPM di sini hari ini.
Beliau berkata seorang daripada suspek dilaporkan pernah menetap di Kampung Bangau-Bangau dan Pulau Balitag, Semporna dan mereka dipercayai berjaya meloloskan diri ke Filipina.
Katanya, kedua-dua suspek amat dikehendaki polis Malaysia kerana dipercayai terlibat dalam empat kes penculikan yang berlaku di kawasan pantai timur Sabah sebelum ini.
“Mereka dikenal pasti terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan di Pulau Mabul serta tiga lagi kes penculikan lain iaitu di Pulau Pom-Pom pada 15 Nov tahun lepas; Singa Mata resort (2 April 2014) dan pusat ternakan ikan dalam sangkar Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas,” katanya.
Oleh itu, Jalaluddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua suspek agar menghubungi pihak polis.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) kerana berjaya mematahkan cubaan melakukan jenayah oleh kedua-dua suspek dan seorang lagi yang belum dikenal pasti di perairan pantai timur Sabah petang Khamis lepas.
“Kejayaan pasukan keselamatan mematahkan cubaan melakukan jenayah itu juga memperlihatkan keberkesanan pelaksanaan arahan perintah berkurung.
“Perintah berkurung itu telah memudahkan pasukan keselematan mengenal pasti sebarang pergerakan kemasukan bot atau kapal ke kawasan perairan negara,” katanya.
Jalaluddin berkata dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, kapal peronda PPM terserempak dengan bot yang dinaiki ketiga-tiga suspek.
“Bot pasukan peronda PPM kemudian bertindak mengejar dan cuba memintas suspek dari barat Sibangkat menuju ke Sibuan.
“Bot suspek hampir berjaya dipintas namun ia berjaya masuk ke kawasan laut cetek di perairan Pulau Maiga menyebabkan bot pasukan peronda tidak dapat memasuki kawasan berkenaan disebabkan keadaan air surut dan cuaca semakin gelap,” katanya.
Beliau berkata pasukan peronda PPM melepaskan beberapa das tembakan namun ketiga-tiga suspek berjaya memboloskan diri ke pulau berhampiran dan meninggalkan bot.
Susulan kejadian itu, katanya, pasukan keselamatan melakukan operasi memburu suspek di Pulau Maiga, Pulau Gaya dan Pulau Tatagan namun mereka berjaya meloloskan diri dan kini dipercayai berada di Filipina.
Sumber : http://esscom.gov.my/aktiviti-esscom/dua-suspek-empat-kes-culik-di-pantai-timur-sabah-dikenal-pasti/
Sumber : http://esscom.gov.my/aktiviti-esscom/dua-suspek-empat-kes-culik-di-pantai-timur-sabah-dikenal-pasti/
Tiada ulasan
Catat Ulasan