Perkembangan Terkini Kes Bunuh Pegawai Bank Ambank. Pengawal Keselamatan hanya berniat untuk merompak sahaja. Bekas pengawal keselamat...
Perkembangan Terkini Kes Bunuh Pegawai Bank Ambank. Pengawal Keselamatan hanya berniat untuk merompak sahaja.
Bekas pengawal keselamatan AmBank Subang Jaya, La Ode Ardi Rasila yang didakwa membunuh pegawai bank, Norazita Abu Talib, tahun lalu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dia tidak berniat untuk membunuh wanita itu.
Warga Indonesia itu berkata, pada hari kejadian dia hanya berniat untuk merompak bank berkenaan namun senjata api jenis pump gun di tangannya meletup secara tiba-tiba.
Katanya, sebelum itu dia cuba mengepam senjata api berkenaan agar bunyi yang dikeluarkannya dapat menarik perhatian mangsa dan seorang lagi kakitangan bank, Arzanna Abdullah untuk memandang ke arahnya.
"Ketika itu mereka (Norazita dan Arzanna) sedang menyusun wang dengan membelakangkan saya, saya tarik pam supaya keluar bunyi agar mereka nampak saya," katanya ketika memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi.
Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum itu memerintahkan La Ode, 37, membela diri atas tuduhan membunuh dan melakukan rompakan dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian Norazita, 37, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013. UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan
Catat Ulasan