Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

UMS Tidak Larang Pelajar Suarakan Pandangan, Kata Naib Canselor

UMS KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak pernah melarang para pelajarnya menyuarakan pandangan se...

Portal satu sabah
UMS
KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak pernah melarang para pelajarnya menyuarakan pandangan serta hasrat masing-masing.

Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata demikian ketika menafikan dakwaan laporan akhbar bahawa seorang pegawai universiti itu memaklumkan kira-kira 100 mahasiswa diberhentikan kerana lantang menyuarakan pandangan.

"Pihak universiti sentiasa bersikap terbuka dalam mendengar sebarang aduan atau permasalahan yang ingin diajukan oleh pelajar.

"Kita juga menggalakkan pelajar untuk berbahas dalam syarahan umum yang bermanfaat untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang tidak berasas dan berunsur sabotaj, Mohd Harun berkata UMS tidak boleh memberhentikan mana-mana pelajar sewenang-wenangnya dan sebarang isu serta permasalahan membabitkan golongan itu akan dibicara melalui Bahagian Perundangan dan Tatatertib universiti berkenaan.




"Saya kesal dengan kenyataan berbaur hasutan dan antiperpaduan daripada pegawai terbabit, yang saya percaya mempunyai agenda tersendiri...saya berasa amat malu sekiranya benar pegawai itu, yang tidak ingin didedahkan namanya, ialah kakitangan UMS," katanya.

Mohd Harun juga berkata siasatan berhubung dakwaan itu, yang dilihat sebagai khianat dan mencemarkan nama baik UMS, akan dijalankan.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang melakukan kesalahan serta dirujuk melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menerima hukuman selepas dibicarakan dalam bentuk penggantungan semester atau kolej kediaman, dan bukan diberhentikan daripada universiti.

"Kita sabitkan mereka yang terlibat sesuai dengan AUKU, kaedah dan peraturan yang termaktub di UMS setelah mereka terbukti melakukan kesalahan.

"Akan tetapi, ia bukan keputusan yang muktamad kerana kita akan memberikan peluang dalam beberapa waktu untuk mereka membuat rayuan," katanya sambil menyifatkan hukuman itu sebagai usaha UMS memberi kesedaran dan keinsafan.
-- BERNAMA

Tiada ulasan

Latest Articles