Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Berita Sarawak : Dr Dusit Jaul takkan gentar martabat hak Dayak

KUCHING: Ahli Dayak Informal Group (DIG) Dr Dusit Jaul akan terus berusaha memartabatkan hak-hak kaum Dayak tanpa rasa takut walaupun ...

Portal Satu Sabah

KUCHING: Ahli Dayak Informal Group (DIG) Dr Dusit Jaul akan terus berusaha memartabatkan hak-hak kaum Dayak tanpa rasa takut walaupun menerima amaran dan ugutan agar berhenti berbuat demikian baru-baru ini.

Dusit, yang bercakap kepada pemberita selepas beliau dan beberapa ahli lain membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong semalam berkata, tindakan beliau tidak menyalahi undang-undang dan tidak menafikan hak-hak kaum lain.

“Kita tidak merampas atau menafikan hak-hak kaum lain, kita hanya meminta agar kaum Dayak dilayan secara adil, tidak lebih mahupun kurang daripada itu.

“Saya rasa ia tidak salah jika kita bercakap untuk menarik perhatian kepada perkara ini. Segalanya dibuat menurut lunas undang-undang yang sudah ditetapkan untuk meminta agar kerajaan mendengar rungutan tentang masalah yang dihadapi oleh kaum Dayak,” katanya.

Laporan polis semalam dibuat oleh Eric Dile, seorang ahli DIG, yang mewakili ahli-ahli lain untuk menyokong tindakan Dusit sebelum ini yang membuat laporan polis di Pusat Sehenti Pusat Transformasi Bandar (UTC) selepas Dusit menerima amaran dan ugutan daripada sekumpulan lelaki pada 7 Oktober lalu.

“Kita meminta agar kerajaan mengambil berat tentang permintaan kita kerana jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan berdepan dengan bangsa Dayak yang jauh lebih agresif dan mahir dalam banyak perkara.

“Kerajaan boleh memilih untuk memenuhi permintaan kita atau berdepan dengan kaum Dayak yang lebih agresif pada masa depan.

“Kami percaya apa yang kami buat di sini adalah demi kebaikan negeri dan kerajaan negeri,” tambahnya.

Pada 7 Oktober lalu, sekitar jam 10.45 pagi, rumah Dusit di Tabuan Jaya dimasuki lima orang yang mendakwa mereka dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur tetapi tidak mengeluarkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Lima orang yang masuk tanpa kebenaran itu memberi amaran dan mengganggu isteri Dusit yang ketika itu seorang diri di rumah.

Menurut isterinya, lima orang tersebut meminta Dusit berhenti bercakap mengenai perkara berkaitan hak-hak bangsa Dayak serta isu-isu semasa yang dihadapi kaum-kaum Dayak.

“Mereka juga meminta saya mengikuti contoh beberapa ketua kaum Dayak yang baik dalam kerajaan. Tiga nama yang mereka sebut adalah Dato Sri Michael Manyin, Datuk Peter Nansian dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

“Mereka juga memberitahu mereka akan memberi amaran kepada Tan Sri James Masing pada tahun depan,” kata Dusit.

Menurut isteri Dusit, tiga daripada lima tetamu tidak diundang itu fasih berbahasa Iban, seorang berbangsa India dan seorang lagi Melayu.

Dusit menambah, kumpulan yang sama juga sering kelihatan mengekorinya malah pada 4 sehingga 5 Oktober lalu, mereka mengekorinya sehingga ke Lubok Antu.

Di Lubok Antu, keretanya telah ditahan oleh kumpulan tersebut yang menurunkan semua cermin tingkap keretanya, kata Dusit. -UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan

Latest Articles