Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Operasi Roboh Struktur Rumah Setinggan Di Tawau Ditangguhkan

TAWAU - Operasi merobohkan kira-kira 30 buah struktur rumah di perkampungan setinggan di Airport Lama oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT...

TAWAU - Operasi merobohkan kira-kira 30 buah struktur rumah di perkampungan setinggan di Airport Lama oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di sini hari ini, ditangguhkan buat sementara waktu ekoran bantahan daripada penduduk terlibat.

Semasa operasi itu dilaksanakan pihak penguat kuasa, situasi menjadi tegang dan kecoh apabila penduduk bertindak menghalang jentolak yang mahu melakukan operasi berkenaan.

Presiden MPT Alijus Sipil berkata pihaknya telah beberapa kali mengeluarkan notis larangan membina rumah di kawasan berkenaan, termasuk telah menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Semarak kepada sebahagian penduduk terlibat.

Katanya tindakan merobohkan struktur rumah di kawasan itu akan tetap dilaksanakan selepas mesyuarat dengan jabatan lain yang terlibat diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"MPT tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi tindakan merobohkan rumah-rumah haram dan setinggan di daerah ini kerana MPT mempunyai kuasa khas merobohkan perumahan haram," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berharap agar penduduk terlibat dan pihak MPT dapat menyelesaikan perkara itu dengan baik tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.

"Penduduk terlibat perlu menggunakan platform yang disediakan bagi menyuarakan bantahan dan tidak lagi menghalang tugas MPT untuk merobohkan struktur rumah di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Fadil juga menasihatkan agar penduduk yang terlibat tidak lagi membina rumah dan menambah apa-apa struktur di rumah mereka di kawasan tersebut. - BERNAMA

Tiada ulasan

Latest Articles