Page Nav

HIDE

Breaking News:

latest

Ads Place

Berita Sabah : Suasana Tegang Di Sabah Cemari Imej Etnik Suluk Tempatan

Cubaan kumpulan ekstremis dari selatan Filipina mewujudkan suasana 'tegang' di Sabah merupakan perbuatan sia-sia dan tidak memberi...

Cubaan kumpulan ekstremis dari selatan Filipina mewujudkan suasana 'tegang' di Sabah merupakan perbuatan sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada etnik Suluk tempatan di negeri ini, kata Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) Mohd Zaki Harry Susanto.



Berita Sabah : Suasana Tegang Di Sabah Cemari Imej Etnik Suluk Tempatan

Sebaliknya, beliau berkata tindakan mereka yang cuba menggugat kedaulatan negara telah memberi implikasi buruk kepada warga Malaysia berketurunan Suluk.

Oleh itu, Mohd Zaki berkata etnik Suluk tempatan khususnya di Sabah perlu bijak membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan usaha memesongkan pemikiran oleh kumpulan ekstremis itu.

"Kita harus bersyukur kerana menjadi rakyat dan warganegara di Malaysia. Dibandingkan dengan kehidupan di Selatan Filipina, etnik Suluk di Malaysia jauh lebih baik dan sejahtera.

"Nampaknya mereka mencemburui kesejahteraan kita, dan cuba merosakkan nama baik kita dengan merosakkan imej etnik Suluk tempatan," katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

Sehubungan itu, Mohd Zaki berkata rakyat negeri ini, terutama etnik Suluk tempatan perlu memperkuatkan jati diri supaya tidak mudah dieksploitasi atau menjadi 'kambing hitam' kepada pihak yang berkepentingan dan berniat jahat.

Mohd Zaki yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Komuniti Belia Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) turut meminta komuniti etnik Suluk tempatan supaya membuktikan taat setia kepada negara dengan menolak cubaan meniupkan semangat perkauman yang melampau demi kelangsungan kesejahteraan hidup generasi masa depan.

Pada masa sama, beliau menyeru pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memperkasakan kehadiran kesemua elemen ESSCom dengan tidak hanya memfokuskan 'omni presence' di kawasan perairan malah melipatgandakan 'show of force' di kawasan daratan.

"Apabila kehadiran elemen ESSCom dirasai masyarakat khasnya di 10 daerah ESSZone, pastinya keyakinan terhadap tahap keselamatan akan meningkat sekali gus menutup ruang kepada tali barut pengganas yang mungkin telah lama menyusup masuk ke dalam masyarakat.

"Kita juga harus bersedia menjadi mata, telinga serta mulut kerajaan dan pihak berkuasa kerana maklumat yang kita sampaikan amat besar ertinya kepada mereka," katanya.

ESSCom diwujudkan pada 1 April 2013 selepas berlakunya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu awal tahun yang sama.

ESSZone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

-- BERNAMA


Tiada ulasan

Latest Articles